Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zentrum: BN hanya 3 peratus di depan
Diterbitkan:  May 16, 2010 7:11 AM
Dikemaskini: 9:39 AM

Calon BN Robert Lau Hui Yew hanya mempunyai kelebihan tiga peratus berbanding calon DAP Wong Ho Leng dalam pilihan raya kecil Sibu kali ini.

Menurut sebuah NGO yang menjalankan kajian mikro persepsi kepercayaan politik di parlimen itu, Zentrum Future Studies, BN unggul di depan dengan sokongan 51.6% peratus undi berbanding DAP hanya 48.2 peratus.

Manakala calon bebas pula hanya mendapat 0.5 peratus sokongan.

Berdasarkan jangkaan tersebut, calon bebas Narawi Haron - yang pada mulanya yakin mendapat sekurang-kurangnya 4,000 undi - akan hilang wang pertaruhannya.

Pengaruh kedua-dua pihak bagaimanapun turun-naik dan pernah sekali seimbang sepanjang tempoh pengundian antara jam 8 pagi hingga 5 petang tadi.

Pada jam 2.30 petang tadi, Zentrum melaporkan di laman sosial Facebook -nya, BN hanya di depan tidak sampai satu peratus; dengan sokongan 50.6 peratus undi berbanding DAP yang hanya mendapat 49 peratus.

Calon bebas pula hanya mendapat 0.4 peratus sokongan.

Sebelum itu, pada jam 12.30 tengah hari tadi, keadaan agak berbeza apabila kedua-dua parti bertanding kelihatan mempunyai kekuatan yang seimbang.

Menurut kajian itu, BN mendapat 49.8 peratus sokongan, Pakatan memperoleh 49.2 peratus dan bebas 1 peratus.

Di sebelah paginya pula, ketika pusat pengundian baru dua jam dibuka pada jam 8 pagi tadi, BN mendahului dengan 53.4 peratus, Pakatan 46.2 peratus dan bebas sebanyak 0.4 peratus.

Diasaskan oleh pensyarah pengajian media Universiti Malaya (UM) Dr Abu Hassan Hasbullah, Zentrum mula terkenal tahun lalu apabila kerap diundang menyampaikan kajian mereka, terutamanya di pentas pembangkang.

ADS