Pekerja Indonesia simpan pasport, cuti sehari seminggu
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konsultasi tahunan ketujuh pemimpin tertinggi Malaysia dan Indonesia yang berlangsung di sini hari ini menghasilkan beberapa keputusan yang memberangsangkan, sekaligus membuktikan hubungan erat antara kedua-dua negara yang kian berkembang.
Perdana Menteri berkata pada perbincangan empat mata antara beliau dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, beberapa isu disentuh dan persetujuan dicapai termasuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan bidang tenaga kerja.
"Hanya satu MOU ditandatangani berkaitan bidang tenaga kerja...antara lain mengkehendaki majikan Malaysia memberi kelapangan (pelepasan/cuti) sehari dalam seminggu kepada pekerja Indonesia.
"Jika terdapat persetujuan antara majikan Malaysia dan pekerja itu yang tidak ingin mengambil kelepasan itu, dia akan dibayar setimpalnya mengikut kadar upahnya," katanya dalam sidang akhbar selepas perbincangan kira-kira satu setengah jam di pejabatnya di Petrajaya.
MOU itu juga menetapkan pasport pekerja Indonesia hendaklah dipegang oleh pekerja kecuali dengan persetujuan kedua-dua pihak, ia boleh disimpan majikan.
Najib berkata bagaimanapun, soal gaji minimum akan terus dibincangkan oleh kedua-dua negara.
Ditanya sama ada persetujuan itu bermakna Indonesia akan menarik balik penggantungan penghantaran pembantu rumah warga mereka ke Malaysia, beliau berkata:
"Secara khususnya kita tidak kata begitu, tetapi saya anggap ia akan ditarik balik tidak lama lagi.
"Ini kerana Indonesia mempunyai sistem yang berbeza dan kita ada sistem yang berbeza di sini, ia merumitkan isu-isu berkaitan gaji yang dibayar di sini, ia memerlukan lebih banyak perbincangan.
"Kita akan dapatkan pengesahan mengenai perkara itu tapi saya tidak rasa ia akan menjadi masalah besar (menarik balik)," katanya.
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (
kanan
) tiba hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ketujuh antara pucuk pimpnan kedua-dua negara dan turut dijadual berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), esok.
Najib berkata dalam penuh semangat kerjasama Malaysia juga bersetuju dengan permintaan Indonesia untuk menambah bilangan guru Indonesia yang mengajar anak-anak pekerja Indonesia di Sabah, tetapi tidak menyebutkan bilangannya.
Sebelum ini kerajaan Malaysia memberi persetujuan bagi Indonesia menghantar guru-gurunya untuk mengajar anak-anak pekerja ladang di Sabah di pusat-pusat pembelajaran terutama di kawasan pedalaman yang menggunakan banyak tenaga kerja Indonesia.
"Bagi penambahan guru, pihak majikan khususnya swasta akan mengadakan tempat dan ruang yang sesuai supaya anak-anak pekerja ladang mereka boleh diajar oleh guru-guru Indonesia dalam kurikulum mereka," kata perdana menteri sambil menambah bahawa tempat itu tidak semestinya berupa bangunan khusus untuk sekolah.
Najib berkata dalam perbincangan empat mata itu juga mereka setuju untuk menampung pertukaran pelatih atau pegawai yang mendapat latihan dan pengajian di universiti pertahanan di Malaysia dan Indonesia.
- Bernama

