Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, mahu umat Islam sama-sama menjaga kesucian masjid supaya tidak menjadi arena yang boleh mewujudkan perpecahan.

NONE Titah baginda, jika masjid digunakan oleh golongan tertentu untuk melaksanakan agenda peribadi, ia amat merugikan.

"Jika orang yang tidak berkelayakan berucap di masjid, ia mungkin menimbulkan masalah termasuk menjadi punca perpecahan masyarakat. Jika ini berlaku, sedikit demi sedikit orang akan lari dari masjid," titah baginda semasa merasmikan masjid AlHusna di Batu Bertangkop dekat Padang Besar, malam semalam.

Baginda turut mencadangkan pengurusan masjid menjalankan kegiatan yang boleh memikat golongan muda seperti menganjurkan pertandingan futsal atau program berbasikal dari masjid ke masjid.

Sementara itu, majlis perasmian Masjid AlHusna yang telah siap 10 tahun lalu dan mula digunakan pada 22 September 2000 diadakan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis yang ke-67 dan sambutan sedekad pemerintahan baginda.

- Bernama