Perlu adil nilai khidmat polis, titah Sultan Perak
Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bertitah masyarakat perlu adil dalam menilai khidmat anggota polis yang mempunyai tanggungjawab berat dan besar dalam membanteras jenayah.
Baginda bertitah anggota polis juga adalah insan yang mempunyai pelbagai perasaan dan adalah kurang bijak, jika khidmat mereka tidak diberikan penilaian secara seimbang dan saksama.
Dengan bilangan anggota yang begitu ramai, tentu akan berlaku kecacatan dengan terdapat bilangan kecil melakukan perkara yang mencalarkan nama pasukan, titah baginda.
"Masyarakat hendaklah bersifat adil dalam membuat penilaian, jangan sampai mencurahkan susu sebelanga kerana nila yang setitik," titah baginda ketika merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Seri Iskandar hari ini.
Sultan Azlan bertitah masyarakat mempunyai hak untuk menyuarakan kebimbangan terhadap insiden jenayah yang dilihat meningkat dan dilakukan dengan cara lebih kejam, tetapi masyarakat juga perlu insaf bahawa polis bukan pencetus atau punca berlakunya jenayah.
"Ada pelbagai punca kepada kejadian jenayah dan pelbagai pihak turut bertanggungjawab. Keadaan sosio-politik, kemelesetan ekonomi, kadar pengangguran, kekurangan prasarana sosial dan pelbagai perkara lagi boleh menjadi sebab kepada peningkatan jenayah," titah baginda.
Baginda bertitah perkidmatan polis akan menjadi lebih berkesan jika masyarakat memberi dorongan, memperlihatkan simpati, bersikap adil dan seimbang.
Titah baginda usaha membasmi jenayah adalah usaha kolektif yang harus dilaksanakan secara berintegrasi antara pelbagai institusi keluarga, sekolah, sosial, masyarakat dan agama.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapannya berkata keputusan Perdana Menteri meletakkan agenda pencegahan jenayah sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
"Keputusan itu juga akan memberikan sedikit bantuan dan kekuatan kepada kerajaan. Kita tidak terjerumus seluruhnya kepada usaha 'retails politics' , tetapi kita menjurus kepada usaha meletakkan penanda aras yang nyata dan kayu ukur berkerajaan yang lebih jelas kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata statistik jenayah yang menurun memberikan bukti bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dalam memastikan agenda mencegah jenayah menjadi gelombang serta agenda rakyat serta mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada seluruh lapisan masyarakat.
"Jika kita bergantung kepada nisbah anggota polis kepada populasi semata-mata, kita tidak akan mampu melaksanakan usaha pencegahan jenayah yang baik dan sistematik," katanya.
Selain daripada menyusun agenda pencegahan jenayah konvensional, beliau amat menggalakkan penyusunan program yang melibatkan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.
Katanya persepsi dan pandangan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggotanya wajar dijernihkan daripada satu, dua kes yang tidak wajar dijadikan 'latar pemandangan' keseluruhan keberkesanan PDRM.
Kompleks bernilai RM58.7 juta berkenaan siap sepenuhnya pada Ogos 2008 dengan dilengkapi bangunan pentadbiran, bangunan lapang sasar, surau, dewan serbaguna, lima buah banglo dan 12 rumah semi-D untuk pegawai serta 122 unit rumah teres untuk anggota pelbagai pangkat.
- Bernama

