Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa para usahawan dan ahli perniagaan melabur dalam sektor pelancongan yang berpotensi untuk terus berkembang di negeri itu.

Baginda bertitah masih banyak ruang boleh disertai bagi membantu merancakkan pembangunan termasuk menyediakan premis penginapan berstatus bajet di pekan sempadan seperti Padang Besar dan Kuala Perlis.

"Saya rasa (peluang) masih terbuka luas terutama dalam aspek pelancongan untuk disambar dan secara tidak langsung membantu pembangunan di negeri ini," titah baginda ketika merasmikan kejohanan woodball kebangsaan 2010 di Kuala Perlis malam tadi.

Raja Muda Perlis, yang juga penaung di raja Persatuan Woodball Perlis, bertitah mereka boleh mewujudkan bazar dan perniagaan makanan antarabangsa, taman tema berskala sederhana dan mewujudkan pusat hiburan ringan.

Sementara itu, sebanyak 110 pemain woodball menyertai kejohanan selama empat hari yang bermula semalam di gelanggang woodball Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau.

Kejohanan anjuran bersama kerajaan negeri Perlis, Persatuan Woodball Perlis, Persatuan Woodball Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Majlis Sukan Negeri Perlis itu diadakan sempena sambutan sedekad pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

-- Bernama