Sektor tenaga akan jadi sebahagian MBE
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sektor tenaga yang mempunyai kepentingan strategik jangka panjang terhadap ekonomi negara ini akan dimasukkan di dalam Model Baru Ekonomi (MBE).
Katanya, kerajaan akan meningkatkan usaha untuk menyediakan langkah dasar dan persekitaran politik yang menggalakkan enterpris swasta tempatan dan asing untuk melaksanakan pelaburan baharu di dalam kepentingan komersial masing-masing.
"Ini tidak akan terhad kepada beberapa sektor sahaja tetapi merangkumi keseluruhan ekonomi, khususnya di dalam bidang kepentingan strategik berjangka panjang, seperti sektor tenaga.
"Malaysia komited terhadap pelaburan strategik yang menyokong inovasi dan pertumbuhan di dalam sektor tenaga, iaitu minyak, gas dan tenaga boleh diperbaharui," katanya pada Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-15 di Kuala Lumpur hari ini.
Najib berkata, komuniti perniagaan dan pelaburan akan mendapat manfaat dari MBE, iaitu melalui peningkatan ketelusan pasaran, persekitaran pasaran yang liberal dan kompetitif sepenuhnya, satu sistem serahan yang efisien dan berkesan serta integrasi pasaran serantau yang lebih meluas.
- Bernama

