ANGKASA sedia gerak koperasi edar barangan
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bersedia menggerakkan lebih 7,000 koperasi di seluruh negara sebagai rangkaian pemasaran bagi mengedarkan barangan kawalan kepada pengguna.
Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata cadangan itu adalah usaha alternatif jika peniaga menghentikan penjualan tiga barangan kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum mulai Selasa depan.
"Langkah ini boleh diambil sebagai alternatif bagi memastikan pengguna memperoleh barang kawalan secara lebih mudah dengan harga yang berpatutan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia dikatakan mahu menghentikan penjualan tiga barang kawalan itu kerana mendakwa tidak memperolehi keuntungan setimpal akibat pelaksanaan lesen barang kawalan yang ditetapkan kerajaan.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan tetap meneruskan pelaksanaan lesen runcit untuk barangan kawalan berkuatkuasa 1 Julai ini.
Abdul Fattah berkata, semua koperasi yang menjadi anggota ANGKASA berkemampuan untuk dilantik sebagai pengedar dan pemborong barang kawalan.
- Bernama

