Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada cadangan naikkan kadar GST lebih 4 peratus
Diterbitkan:  Jun 9, 2010 4:12 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Kerajaan tidak bercadang menaikkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) daripada empat peratus kepada 10 peratus dalam tempoh 10 tahun kerana tidak mahu rakyat menerima impak negatif.

dr awang adek hussin Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek, berkata kerajaan yakin, walaupun GST ditetapkan pada kadar empat peratus, ia akan dapat memberi kesan yang neutral kepada inflasi dan hasil kerajaan secara keseluruhannya.

Malah, katanya, kutipan hasil cukai juga boleh bertambah menerusi sistem GST yang lebih efisien dan pematuhan yang lebih tinggi.

"Yang penting ialah memastikan maklumat mengenai mekanisme dan pelaksanaan GST dapat disampaikan kepada seluruh rakyat," katanya menjawab pertanyaan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Selatan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pua ingin mengetahui sama ada kadar GST akan dinaikkan dalam tempoh 10 tahun akan datang dan mengapa GST patut dilaksanakan jika ia hanya akan mengurangkan hasil kutipan kerajaan.

Awang Adek berkata, matlamat utama GST ialah untuk menyusun semula sistem percukaian negara agar lebih komprehensif, efisien, telus dan mesra perniagaan.

Katanya, GST bakal menggantikan cukai kepenggunaan sedia ada iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan dan mempunyai banyak kelebihan yang mengatasi kelemahan sistem percukaian sedia ada.

Belia azlan u juga berkata, GST tidak akan meningkatkan kos perniagaan, malah menjadikan harga barangan dan perkhidmatan lebih kompetitif dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Ini disebabkan GST yang dibayar peniaga ke atas input perniagaan seperti bahan mentah, bil telefon, peralatan pejabat dan sebagainya, boleh dituntut sebagai kredit daripada kerajaan," katanya.

Mengenai kewajaran melaksanakan GST, Awang Adek menjelaskan bahawa tahap pendapatan negara bukan ukuran untuk kerajaan melaksanakan GST.

Katanya, ini kerana banyak negara lain yang telah melaksanakan GST walaupun pada dasarnya pendapatan per kapita negara itu lebih rendah berbanding Malaysia.

"Venezuela, Sri Lanka, Afrika Selatan dan Sudan sudahpun melaksanakan GST. Ini jelas menunjukkan bahawa tahap pendapatan per kapita bukan menjadi ukuran bagi melaksanakannya," katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 126 program telah dilaksanakan untuk memberi penjelasan berhubung pelaksanaan GST yang membabitkan 18,000 peserta, dan maklum balas yang diterima, agak memberangsangkan.

- Bernama 

ADS