MIC akan membuat susulan terhadap cadangan inisiatif baru untuk masyarakat India dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi memastikan ia membawa manfaat kepada kumpulan sasaran dalam masyarakat tersebut.

    

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata parti itu berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peruntukan tambahan RM70 juta untuk pembangunan semula sekolah Tamil di seluruh negara.

    

"Kami akan memantau pelaksanaan inisiatif baru di bawah RMK10 dan memastikan sasaran tertentu dapat dicapai bagi masyarakat India," katanya dalam kenyataan hari ini.

    

Antara insiatif tersebut adalah peningkatan 87 peratus dalam penubuhan prasekolah di semua sekolah separa bantuan termasuk sekolah Tamil, kerajaan menanggung bil elektrik dan air sehingga RM2,000 untuk setiap sekolah separa bantuan serta peruntukan tambahan untuk peniaga kecil India menerusi Tekun Nasional.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, berkata RMK10 akan memberi manfaat kepada masyarakat kaum India ekoran lebih banyak peluang disediakan untuk mereka.

    

"Terdapat peluang dalam latihan kemahiran, keusahawanan dan prospek pendidikan yang lebih baik dalam RMK10," kata naib presiden MIC itu.

    

Menurutnya pekerja estet juga akan menikmati manfaat dalam pelan lima tahun itu termasuk taraf kehidupan yang lebih baik, perumahan dan program untuk golongan belia.

    

Dr Subramaniam berkata langkah memberi peluang untuk anak-anak dari keluarga miskin tinggal dan belajar di asrama, '1Asrama', dalam RMK10 itu akan memantapkan lagi konsep 1Malaysia.

    

Beliau berharap masalah setinggan di kalangan masyarakat India di kawasan bandar dapat ditangani menerusi inisiatif khas perumahan dan peruntukan RM48 juta bagi membasmi kemiskinan.

Beliau juga berkata MIC secara agresif akan melaksanakan proses pendaftaran masyarakat India yang miskin dan miskin tegar dengan portal e-Kasih bagi memastikan mereka menerima bantuan kerajaan khususnya di bawah RMK10.

    

"Ini adala rancangan baik dan kita akan terus memantau pelaksanaannya. Sudah tiba masa untuk bekerja bagi mencapai hasrat dalam pelan itu," katanya.

- Bernama