Sumber-sumber berkata seorang peguam terkemuka di Kota Kinabalu telah ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Putrajaya.

SPRM difahamkan  sedang melancarkan operasi untuk mengesan skim pengubahan  wang haram yang berjumlah jutaan ringgit yang membabitkan membabitkan tokoh politik-perniagaan di Sabah.

Sumber-sumber yang mengetahui mengesahkan bahawa  seorang  peguam kanan di Kota Kinabalu ditahan empat hari lalu oleh  pegawai SPRM dari Putrajaya.

Pada malam khamis pula, menurut sumber-sumber lain, lima  orang lagi ditahan di Kota Kinabalu.

Mereka termasuk dua akauntan, seorang daripadanya wanita muda.  Kelima-limanya - dari dua firma yang ada urusan dengan peguam  kanan berkenaan - telah dibawa ke Putrajaya untuk disoalsiasat.

Menurut sumber-sumber, peguam kanan itu berada di Australia  dan Singapura dan kembali ke Kota Kinabalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa disedari  pegawai SPRM yang mencarinya di lapangan terbang tersebut.

Berikutan itu, SPRM bergegas ke Sabah untuk menjejakinya. Sumber-sumber SPRM di Kota Kinabalu, bagaimanapun,  membisu tentang peguam kanan tersebut, yang dilaporkan  mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan negeri dan Umno Sabah.

Satu sumber di firmanya, selepas ditanya mengenai peguam kanan  tersebut, cuba menghubunginya melalui telefon, dan kemudiannya mengesahkan yang beliau "sedang berada di luar kawasan".

Sumber tersebut tidak dapat menyatakan bila peguam kanan itu akan pulang. Menurutnya, peguam tersebut tidak datang ke pejabat sejak hari Selasa.

Sumber itu bagaimanapun mengesahkan bahawa beberapa orang yang berpakaian berseragam mengunjungi pejabatnya pada hari Selasa, tapi dia tidak tahu apakah mereka dari SPRM.

Menurutnya lagi, dia tidak boleh menyatakan berapa lama mereka berada di situ dan sama ada mereka mengambil apa-apa bahan dari pejabat tersebut.

Sementara itu, setiausaha peguam tersebut mendakwa dia bercuti pada hari Selasa. Katanya, dia akan tahu sekiranya SPRM datang ke pejabatnya.

Dia juga tidak tahu apa-apa tentang fail  yang diambil dari pejabatnya oleh SPRM. Katanya, semua failnya masih berada dengannya.

Setiausaha itu juga tidak dapat menyatakan bila bosnya akan balik bertugas dan enggan mendedahkan di mana peguam itu berada.

Sementara itu, sumber-sumber yang mengetahui di Kota Kinabalu, melaporkan bahawa SPRM turut menahan dua orang  kontraktor balak di Sandakan pada hari Selasa dan membawa mereka dari Kota Kinabalu ke ke Putrajaya.

Dengan itu, enam orang - tidak termasuk peguam kanan tersebut - ditahan oleh SPRM Putrajaya.

Empat orang ditahan sekitar pertengahan bulan lalu dan turut dibawa ke Putrajaya.

Sumber-sumber mendakwa, sekurang-kurangnya dua daripada mereka telah dibawa ke Hong Kong berkaitan kes pengubahan wang haram di sana dan dijadualkan didengar sekitar bulan depan selepas banyak kali tertunda.

[Baca berita penuh/asal]