Polis menahan lima lelaki kerana dipercayai menjalankan perjudian bola sepak Piala Dunia 2010, di Johor dengan membabitkan pertaruhan RM6 juta.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka ditahan secara berasingan mulai Selasa hingga Jumaat lepas, di kediaman persendirian di Taman Delima di Kluang, Taman Megah Ria di Masai dan Taman Gaya di Ulu Tiram.
"Penahanan ke atas kesemua lelaki berumur lingkungan 30-an hingga 45 tahun itu adalah berdasarkan maklumat orang awam," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Mohd Mokhtar berkata polis merampas pelbagai peralatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan terbabit termasuk lima komputer riba, modem, mesin faksimili, telefon bimbit serta beberapa buku catitan pertaruhan.
Beliau berkata kesemua mereka kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM200,000, jika sabit kesalahan.
Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan samun dan pecah rumah oleh rakyat asing selepas menahan enam lelaki dan dua wanita Indonesia dekat Tangkak, Ledang, pada Jumaat dan awal Sabtu lepas.
"Enam lelaki itu ditahan di ladang ternakan ayam di Jalan Belading kira-kira pukul 11.30 malam, pada Jumaat manakala dua wanita itu pula ditahan di Taman Tangkak Jaya, kira-kira dua jam kemudian," katanya.
Beliau berkata polis merampas barang dan peralatan samun dari mereka termasuk 12 telefom bimbit, dua parang panjang, satu pisau rambo, kamera digital, pemain cakera padat, satu televisyen, komputer riba, barangan kemas, satu sarung muka dan satu sarung kepala.
Kesemua lelaki dan wanita berumur 17 hingga 36 tahun itu katanya, dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Ledang, Muar, Segamat, Batu Pahat dan Melaka.
Sementara itu polis berjaya melumpuhkan rangkaian perjudian Piala Dunia membabitkan pertaruhan RM2.8 juta dengan tertangkapnya lima penganjur di sekitar Jelubu, Seremban dan Jempol.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh kesemua suspek ditangkap pada 16, 17 dan 18 Jun, dua daripada mereka adalah penoreh getah berusia 40 tahun dan seorang wanita yang bekerja sebagai juru jual.
"Kesemua mereka berusia di antara 32 hingga 47 tahun. Ada yang ditangkap ketika sedang mengendalikan pertaruhan di rumah, restoran dan kafe siber, jumlah pertaruhan terendah bermula dari seribu ringgit hingga ke RM10,000," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontingen Polis negeri di Seremban hari ini.
Polis turut merampas empat komputer bimbit, 14 buah telefon bimbit, sebuah komputer meja, dua modem, tiga alat jalur lebar, lima tetikus, sebuah kereta Proton Iswara dan wang tunai berjumlah RM14,224, katanya.
"Semua pertaruhan dijalankan secara online. Polis percaya penganjur ini sudah mengendalikan judi bola bernilai RM2.8 juta, di mana sehari mereka menerima pertaruhan sebanyak RM400,000 membabitkan tiga perlawanan dalam satu malam," katanya.
Katanya polis turut menahan tiga lelaki yang merupakan pemain judi.
Polis sedang menyiasat jika penganjur-penganjur judi ini mempunyai hubungan dengan sindiket judi antarabangsa kerana pertaruhan dibuat melalui satu laman sesawang, katanya.
- Bernama
