Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Tempoh mansuh UPSR, PMR belum ditetapkan
Diterbitkan:  Jun 22, 2010 6:28 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Tiada penetapan tempoh masa berhubung keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

muhyiddin yasin Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan tidak perlu gopoh dalam membuat sebarang keputusan.

Katanya, beliau masih menunggu dan meneliti maklumat balas yang mula diterima daripada pelbagai peringkat masyarakat dan pihak yang berkepentingan berhubung perkara itu.

"Bila kita dah berpuas hati, kita akan maklumkan keputusannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini yang mengajak pakar pendidikan dan masyarakat memberi respon tentang cadangan pemansuhan UPSR dan PMR.

Muhyiddin berkata, setakat hari ini, respon yang diterima adalah baik.

"Ada yang bersetuju kedua-dua peperiksaan itu dihapuskan, ada yang mahu tinggalkan satu peperiksaan sahaja.

"Apa-apa pun, kita akan menunggu selepas kita berpuas hati apabila semua pihak dapat menyuarakan pandangan," katanya.

Muhyiddin berkata maklumat yang diterima akan dikumpul dan perbincangan akan dilakukan di peringkat kementerian, yang membabitkan pihak yang berkepentingan.

- Bernama

ADS