Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan telah mengamalkan perbelanjaan berhemah mengikut kemampuan, berdasarkan asas dan pertimbangan yang rasional, serta berdasarkan keperluan.

NONE Katanya setiap jabatan dan agensi yang bertanggungjawab juga harus mematuhi strategi yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dijadikan panduan sebelum membuat sebarang perbelanjaan.

“Kerajaan bertanggungjawab terhadap pembangunan berdasarkan keperluan. Mungkin apa yang diperkatan tidak tepat dan ada pihak memutarkan cerita sehingga timbul tanggapan yang salah,” katanya  kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di Putrajaya hari ini..

Katanya, perbelanjaan kerajaan untuk pembangunan sesuatu projek perlu dilihat daripada segi makro iaitu secara keseluruhan dan bukan secara satu persatu.

"Jadi, jika apa-apa perkara timbul, bila orang kata nak buat bangunan Parlimen baru, itu pandangan pihak tertentu, tetapi kita tak buat keputusan.

"Rakyat jangan tersalah faham hanya kerana ada pihak mengeluarkan pandangan, itu (dianggap) sudah jadi keputusan. Kerajaan sedar kita harus mengambil langkah yang wajar. Tunggu keputusan yang muktamad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan pihak-pihak tertentu mengenai perbelanjaan yang dianggap membazir termasuk membina bangunan baru Parlimen di Putrajaya yang berkemungkinan menelan belanja sehingga RM800 juta.  

Muhyiddin berkata belum ada keputusan muktamad berhubung cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru tetapi ada pihak yang sudah "memutarkan" cerita sehingga timbul tanggapan rakyat yang tidak tepat.

"Kita mahu supaya itu dielakkan, jadi bila sampai masa, kerajaan akan buat keputsan yang sesuai," katanya.