KWSP kurang kepentingan dalam RHB Capital
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengurangkan kepentingannya dalam RHB Capital kepada 40 peratus menjelang pertengahan 2011, kata ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Azlan Zainol.
"Kami perlu menjual sehingga kepada 40 peratus menjelang pertengahan tahun depan," kata beliau kepada pemberita di luar majlis Minggu Korporat Kerajaan Suruhanjaya Sekuriti-Bursa Malaysia di ibunegara hari ini.
Beliau berkata yang KWSP belum lagi mengenalpasti pembeli berpotensi untuk 57 peratus kepentingannya dalam bank keempat terbesar negara itu berdasarkan aset.
Sementara itu, Azlan berkata KWSP berhasrat untuk mengembangkan pelaburan seberang lautnya antara 10 dan 15 peratus tahun depan daripada hanya tujuh peratus pada masa ini.
"Kami berminat pada kertas-kertas bon dan hartanah," tambah beliau.
KWSP telahpun mempunyai pelaburan di Australia, Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara.
- Bernama

