Anak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah antara yang dilantik menganggotai barisan exco pertama Puteri Umno yang diumumkan petang ini.

Nori Abdullah dilantik oleh ketua pergerakan itu, Azalina Othman Said untuk mengetuai Biro Penyelidikan, berdasarkan latarbelakangnya sebagai seorang penyelidik di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Menurut Azalina, perlantikan Nori yang merupakan ahli Puteri Umno Bukit Bintang, bukanlah untuk"memikat hati" timbalan perdana menteri, tetapi bertujuan untuk mempergiatkan penyelidikan dalam hal-hal yang berkaitan dengan wanita and isu antarabangsa.

"Nori dikenali dalam bidang penyelidikan dan bukannya dipilih kerana beliau merupakan anak Abdullah Badawi. Beliau juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita.

Azalina percaya kehadiran Nori akan dapat menghubungkan Puteri Umno dengan kumpulan akademik.

"Kalau kami pergi ke universiti sebagai ahli politik, kami tidak akan diterima baik kerana prasangka tertentu. Oleh itu kami perlu perlu orang tengah seperti beliau", katanya.

Tambah ahli

Di samping itu, katanya, Puteri Umno sebagai sebuah pergerakan politik wanita muda tidak boleh hanya memfokuskan kepada politik sahaja.

Menurut Azalina, Puteri Umno akan terus menumpukan usahanya menambahkan keahlian, terutama golongan profesional muda dan bakal graduan.

Apabila ditanya mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mengawal pelajar pusat pengajian tinggi daripada aktif dalam politik, beliau berkata, mereka sebenarnya terdedah kepada pergerakan itu melalui media dan internet.

Barisan sembilan orang exco Puteri Umno yang diumumkan hari ini, termasuk Bibi Sharliza Mohd Khalid, yang juga ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, yang dikekalkan jawatannya sebagai ketua penerangan.

Sebelum itu, Azalina mengingatkan para wartawan bahawa sidang akhbar yang berlangsung di ibupejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini adalah semata-mata mengenai perlantikan ahli exco Puteri Umno.

Puteri Umno, walaupun baru berusia dua tahun itu, sudah dilanda pelbagai krisis dan sehingga ini dua laporan polis dibuat terhadap Azalina yang didakwa melakukan penyalahgunaan kuasa, dan serta dakwaan beliau seorang lesbian. Kedua-dua laporan itu kini dalam siasatan polis.