A380: MAS terima pampasan RM329 juta
Malaysia Airlines (MAS) menerima pampasan RM329 juta daripada Airbus berikutan kelewatan penyerahan pesawat Airbus A380 yang dijadualkan pada Januari 2007, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat, berkata selepas ditunda beberapa kali, Airbus memaklumkan kepada MAS, pesawat itu akan diserahkan pada Ogos 2011 tetapi ia kemudian menundakannya kepada April 2012.
"MAS telah menerima pampasan one-off sebanyak RM329 juta daripada Airbus berikutan kelewatan tersebut," katanya menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang ingin tahu bilakah MAS akan menerima Airbus A380 yang pertama dan pampasan yang diterima kerana kelewatan tersebut.
Menjawab soalan Hee mengenai kos pengubahsuaian terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang bagi menampung Airbus, Jelaing berkata ia membabitkan kos RM115.5 juta.
"Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga menaik taraf tiga pintu di bangunan satelit KLIA dan menaik taraf landasan bagi membolehkan pengendalian pesawat jenis A380," katanya.
- Bernama

