ADUN BN S'gor bertindak keluar dewan
Para ADUN BN Selangor bertindak keluar dewan apabila salah seorang wakil rakyatnya Abdul Syukur Idrus (Kuang) dihalau keluar dewan oleh speaker Teng Chang Khim.
Wakil rakyat berkenaan bertindak demikian sebagai tanda sokongan kepada Abdul Syukur yang mahu mengajukan soalan berkaitan isu pengeluaran pasir di negeri berkenaan.
Salah seorang wakil rakyat berkenaan Mohd Isa Abu Kasim berkata tindakan keluar dewan itu juga sebagai tanda bantahan apabila speaker dewan tidak meluluskan satu usul yang dikemukakan mereka untuk dibincangkan.
"Kita bantah sebab kita hantar usul tapi tidak diluluskan. Kami tidak diberitahu sama ada usul ini diterima atau tidak sedangkan kami telah hantar usul ini sejak 14 hari lalu.
"Usul ini untuk minta kerajaan hentikan pengeluaran pasir untuk sementara waktu sebab timbul banyak masalah berhubung kegiatan ini," katanya ketika ditemui media di luar dewan berkenaan.
Kali terakhir pembangkang bertindak keluar dewan ialah pada November tahun lalu yang membolehkan kerajaan meluluskan beberapa usul sebulat suara tanpa kehadiran pembangkang, termasuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

