BERITA

Dakwaan Anwar-CIA bukti Umno terdesak, kata AMK

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Jul 2010, 1:30 tengahari

Tindakan menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai alat Agensi Perisikan Pusat (CIA) menunjukkan bahawa Umno sudah terdesak, kata ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

NONE Katanya, Umno jadi terdesak ekoran kegagalan parti itu untuk meyakinkan rakyat mengenai kontroversi seperti kontrak kerajaan dengan Apco Worldwide dan Asiasoft.

"Tuduhan alat CIA nyata berat dan biadap dalam keadaan segalanya bermula apabila beberapa isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar secara umumnya dan KEADILAN khususnya mendapat perhatian rakyat dan gagal dijawab secara berfakta,"  kata Shamsul Iskandar (kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengecam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, khususnya kerana berkata tindakan akan diambil terhadap Anwar jika ada bukti beliau mempunyai hubungan agensi perisikan Amerika Syarikat itu.

"Jawapan itu juga menunjukkan bahawa institusi polis sekaligus telah hilang kredibiliti apabila setelah 12 tahun isu alat CIA dimainkan, Datuk Seri Anwar masih gagal disabitkan dengan sebarang bukti konkrit dan sahih," tambahnya.

Beralih kepada Utusan Malaysia, yang melaporkan dakwaan terhadap Anwar itu semalam, Shamsul berkata akhbar tersebut telah mengkhianati perjuangan tokoh-tokoh wartawan terkemuka Melayu seperti Datuk Usman Awang, Keris Mas dan Datuk A Samad Said.

" Utusan kini jelas bukan lagi satu institusi, tetapi media yang telah terlacur sepenuhnya," tegas Shamsul lagi.

utusan on anwar cia stooge Dalam edisi Ahadnya semalam - Mingguan Malaysia - akhbar harian bahasa Melayu itu memetik tulisan Elaine Meinel Supkis, yang digambarkannya sebagai "seorang penulis blog terkemuka", mendedahkan bahawa Anwar merupakan "alat" CIA .

Akhbar tersebut menterjemah tulisan Elaine dalam blog - Culture of Life News - seperti berikut: "Anwar bukan ejen tetapi alat yang dicipta oleh CIA. Senarai rakan-rakan membuktikan segala-galanya dan merupakan ejen CIA yang menyamar."

Mingguan Malaysia memetik tulisan Elaine yang bertajuk ' CIA and Mossad want Anwar Ibrahim assassinated (CIA dan Mossad mahu Anwar Ibrahim dibunuh) yang menyebut bahawa Anwar merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit negara itu di Malaysia.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.