Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkeyakinan masalah bekalan elektrik yang dihadapi di Sabah sekarang akan dapat diatasi segera ke paras yang minimum.

joseph pairin kitingan 010706 young Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata keyakinan itu berdasarkan kegigihan dan komitmen Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang disokong kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk menangani masalah itu.

"Walaupun pada masa kini kita menghadapi beberapa cabaran namun saya yakin dan percaya masalah ini akan segera diatasi," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Terbuka dan Hari Vendor SESB di Wisma SESB, di Kota Kinabalu hari ini.

Pairin berkata sasaran kerajaan untuk memastikan Indeks Sistem Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) elektrik, dengan sasaran 700 minit (pengguna) setahun menjelang akhir tahun ini, akan dapat diatasi melalui pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan projek khas di bawah inisiatif SAIDI 700 minit berjumlah lebih RM1 bilion.

Katanya ini termasuk projek penghantaran dan pembahagian, dan pengendalian projek tersebut menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan elektrik di Sabah.

    

"Justeru itu, sektor yang paling penting yang perlu ditangani pada ketika ini adalah sektor penjanaan. Kekurangan kapasiti janaan yang kritikal dengan 'reserve margin' yang sangat nipis telah menyumbang kepada masalah gangguan bekalan yang berlaku selama ini," kata beliau.

Pairin berkata SESB bersama pihak Penjana Bebas (IPP) sentiasa berusaha untuk memastikan agar jentera terlibat berada dalam keadaan yang baik, sekaligus memastikan sistem penjanaan berada dalam paras yang baik untuk memenuhi permintaan yang menjangkau 760MW pada ketika ini.

Menurutnya peningkatan permintaan itu disebabkan peningkatan pelanggan yang drastik daripada kira-kira 290,000 pada awal penswastaan (1998) hingga menjangkau 428,717 setakat Mei tahun ini.

Peningkatan itu membuktikan Sabah telah membangun dengan pesatnya, katanya.

Pairin turut menyambut baik langkah pantas SESB untuk memasang set-set janakuasa bergerak di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu sebagai usaha sementara SESB untuk menambah kapasiti janaan di Sabah.

Bagaimanapun, katanya projek pembangunan stesen janakuasa IPP menghadapi masalah kelewatan, dan ini menjejaskan usaha untuk memantapkan serta memperkukuhkan sistem perkhidmatan elektrik di Sabah.

- Bernama