Fortis Healthcare Ltd memutuskan untuk melupuskan keseluruhan 25.37 peratus kepentingan strategiknya dalam Parkway Holdings Ltd, dengan menerima tawaran awam sukarela pada S$3.95 sesaham daripada Khazanah Nasional Bhd.

Fortis dan Khazanah, yang menguasai 23.32 peratus kepentingan dalam Parkway, terlibat dalam perebutan untuk mengawal Parkway, sebuah kumpulan penjagaan kesihatan yang berpangkalan di Singapura, yang mengurus 16 hospital dengan lebih 3,400 katil di Asia.

"Selepas berbincang secara mendalam, kami memutuskan untuk melupuskan pegangan strategik kami dalam Parkway. Keputusan untuk mengeluarkan pelaburan kami mengambil kira kepentingan semua pemegang saham dalam Fortis," kata Pengerusi Fortis dan Parkway, Malvinder Mohan Singh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk tujuan itu, Fortis Healthcare, menerusi unitnya Fortis Global Healthcare (Mauritius) Holdings Ltd, mencapai kata sepakat dengan Integrated Healthcare Holdings Ltd (IHHL), sebuah unit tidak langsung Khazanah, untuk menerima tawaran umum sukarela yang disemak semula IHHL.

Ia juga berkata sempena persetujuan dengan Fortis untuk melakukan tenderkepada IHHL, RHC Healthcare Pte Ltd, yang dimiliki bersama oleh RHC Holding Pte Ltd dan Fortis Healthcare, telah menarik balik tawaran umum sukarela untuk Parkway Holdings berkuat kuasa serta-merta.

--Bernama