Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk SK Devamany meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan menjelaskan lebih lanjut mengenai arahan kepada penjawat awam agar menulis surat kepada ketua mereka sekiranya wujud 'permintaan istimewa' daripada ahli politik.

Katanya, beliau menyokong usaha KSN untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dalam pentabiran awam negara dengan memastikan setiap penjawat awam menjalankan tugas dengan telus dan amanah.

sk devamany Bagaimanapun, kenyataan KSN itu mungkin disalah tafsir oleh pelbagai pihak dengan menggambarkan seolah-olah ahli politik menyalahgunakan kuasa mereka sebagai wakil rakyat untuk kepentingan sendiri.

"Saya nak tahu apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh KSN ini dan KSN perlu menghuraikan butiran berkaitan 'permintaan istimewa' daripada ahli politik kepada penjawat awam dengan terperinci.

"Saya sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands perlu melayani keluhan rakyat di kawasan saya dan kenyataan itu mungkin akan menjejaskan perkhidmatan saya kelak kerana sudah semestinya setiap masalah yang dihadapi perlu dibawa ke pihak atasan iaitu penjawat awam yang terbabit dalam masalah tersebut," katanya kepada pemberita di lobi parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar the Star hari ini yang memetik KSN sebagai mengarahkan agar penjawat awam menulis surat dan melaporkan kepada ketua mereka sekiranya mereka mendapat 'permintaan istimewa' daripada ahli politik dalam urusan pemberian tawaran kontrak, permit, lesen, kewarganegaraan dan biasiswa.

Dalam laporan itu, Mohd Sidek berkata sebarang cadangan atau surat sokongan daripada ahli politik kepada penjawat awam tidak seharusnya dalam apa cara pun mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan.

--Bernama