ESQ Leadership Training Center Sdn Bhd tidak menolak kemungkinan bahawa dakwaan negatif yang dilemparkan kepada modul latihan yang dijalankan syarikat tersebut berpunca daripada persaingan perniagaan.

Ini memandangkan, syarikat tersebut merupakan satu-satunya syarikat latihan pembinaan modal insan yang menggunakan modul berteraskan Islam di negara ini, kata pengurus besar syarikat itu Marhaini Yusoff.

NONE "Kita telah buat kajian, dan pesaing kita kesemuanya menggunakan modul daripada Barat.

"Tapi kita lebih suka untuk bersinergi daripada bersaing. Kalau ada mana-mana pihak berminat, kita sedia untuk sinergi," katanya ketika ditemui selepas satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, beliau bagaimanapun tidak pasti dengan jelas jumlah sebenar agensi kerajaan yang menyertai program anjuran syarikat tersebut, yang mula beroperasi sejak empat tahun lalu.

"Setakat ini 3,000 syarikat telah sertai latihan kami, dan ada juga pegawai kanan kerajaan.

"Tapi saya tidak pasti berapa ramai agensi kerajaan kesemuanya," katanya lagi.

Pengasas terbang dari Indonesia

Tambahnya, syarikat tersebut juga telah membatalkan kesemua program latihan yang dijadualkan untuk diadakan di Kuala Lumpur.

azlan Tindakan itu diambil berikutan pewartaan fatwa oleh mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun lalu yang menyatakan bahawa program latihan tersebut sebagai haram.

Sementara itu, dalam sidang media tersebut, pengerusi panel syariah syarikat itu Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan mufti berkenaan bagi mengadakan muzakarah.

Namun tarikh bagi pertemuan itu belum ditetapkan lagi, katanya.

Dalam sidang media berkenaan, pengasas ESQ Dr Ary Ginanjar Agustian turut hadir daripada Indonesia dan mengambil peluang menepis dakwaan yang dilemparkan ke atas modul latihan yang diperkenalkannya.

Beliau yang juga penulis buku ESQ: Rahsia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual tu berkata kandungan modul berkenaan sememangnya diasaskan dari teori sains oleh pemikir bukan Islam.

Namun teori tersebut dipersembahkan berdasarkan konsep dan ajaran Islam, katanya dalam sidang media sama.