MB nafi janji beri tanah kepada sekolah Tamil
Menteri Besar, Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa kesal kerana ada pihak cuba mengelirukan rakyat berhubung isu pembesaran Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Salak di Lukut.
Isu itu timbul daripada kesilapan surat daripada kakitangan kementerian pelajaran kepada pihak sekolah yang menyatakan kerajaan negeri sudah berjanji untuk memberikan tanah seluas enam ekar (2.4 hektar).
"Kita tidak pernah berjanji mahu beri enam ekar tanah. Tanah di sekitar sekolah itu pun tiga ekar sahaja, dari kesilapan surat ini ia merebak menjadi isu untuk mencemuh kerajaan kononnya kita ini mungkir janji,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.
Mohamad berkata, ekoran daripada kesilapan surat itu, kementerian pelajaran sudahpun menghantar surat susulan untuk memperbetulkan fakta dan isu itu sepatutnya selesai.
Katanya, sekolah itu sedang dibesarkan oleh kerajaan termasuk membina sebuah bangunan tambahan dengan harga RM3.4 juta, malahan ia dijadikan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan.
"Kita menepati janji yang dibuat kepada penduduk di kawasan itu tetapi ada pihak cuba mengapi-apikan kebencian terhadap kerajaan negeri hanya disebabkan kesilapan maklumat dalam surat tersebut,” katanya.
- Bernama

