BERITA

Istana: Kehadiran Permaisuri atas jemputan

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Ogs 2010, 3:29 pagi

Istana Negara menafikan bahawa keberangkatan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah ke majlis Islamic Song Festival di Shah Alam pada 4 Julai lalu atas sebab-sebab peribadi.

Istana Negara dalam kenyataan, lewat petang semalam berkata keberangkatan Tuanku Nur Zahirah ke majlis itu merupakan acara rasmi baginda.

NONE "Pentadbiran Istana Negara ingin menasihati pihak yang terlibat dalam perkara ini supaya tidak mengulangi perkara seperti itu dan sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin boleh disalahtafsirkan oleh rakyat," kata kenyataan itu di Kuala Lumpur.

Pada Isnin lalu, akhbar The Malay Mail telah mengeluarkan laporan bertajuk "Being Frank: Selangor's Royal Snub, Date with the Queen" dan satu lagi artikel "It was not a royal snub" keluaran Selasa, yang telah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah.

Laporan itu "It was not a royal snub" menyatakan bahawa kerajaan Selangor mendakwa Tuanku Nur Zahirah menghadiri majlis anjuran Pelancongan Selangor itu atas kapasiti peribadi di mana beberapa pemimpin penting kerajaan negeri itu tidak hadir.

Laporan itu juga menyebut ketidakcekapan kerajaan negeri menganjurkan acara itu telah memalukan Tuanku Nur Zahriah kerana tidak kehadiran pentadbir utama negeri termasuk Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut ketibaan Baginda.

NONE Majlis itu hanya dihadiri oleh kurang darpada 200 orang dalam Stadium Tertutup Malawati di Shah Alam yang mempunyai kapasiti 5,000 penonton dan kegagalan kerajaan negeri memaklumkan kepada Sultan Selangor mengenai kehadiran Baginda pada majlis itu.

Istana Negara mendapati mesyuarat persediaan menyambut keberangkatan Baginda ke majlis itu diadakan melibatkan pihak Istana Negara, penganjur serta jabatan dan agensi kerajaan negeri yang terdiri daripada Pejabat Menteri Besar Selangor, Bahagian Khidmat Pengurusan SUK, Bahagian Protokol SUK dan Tourism Selangor dan dipengerusikan oleh Pengurus Besar Tourism Selangor.

"Istana negara juga menolak laporan yang menyatakan Baginda meninggalkan majlis lebih awal daripada yang dijadualkan, pada hal sebenarnya pihak penganjur telah dimaklumkan terlebih dahulu bahawa Baginda tidak akan menyertai majlis santapan selepas konsert tersebut," kata kenyataan itu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.