Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rogol gadis bisu, penganggur dipenjara
Diterbitkan:  Aug 6, 2010 12:32 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menghukum penjara 15 tahun dan lima sebatan rotan terhadap seorang penganggur kerana merogol seorang mangsa Orang Kelainan Upaya (OKU), empat tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairul Nizam Mohd Shafiai, 24, setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Bagaimanapun Fathiyah membenarkan permohonan peguam Mohd Razlan Jalaluddin yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan hukuman sebatan bagi menfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

"Dalam kes ini pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah dan mahkamah mendapati keterangan daripada saksi pembelaan adalah satu penafian semata-mata di mana keterangan daripada tertuduh tidak konsisten," katanya.

Fathiyah berkata, Mohd Khairul Nizam berjaya memperdayakan mangsa, seorang wanita golongan istimewa yang bisu ketika melakukan hubungan tersebut.

"Dalam hal ini, jelas menunjukkan tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa yang bisu dan bukan berniat untuk membantu mangsa yang ketika itu memohon bantuan daripada tertuduh," katanya.

Fathiyah berkata bahawa hukuman yang dikenakan terhadap Mohd Khairul Nizam adalah wajar memandangkan tertuduh masih muda dan kesalahan yang dilakukannya amat serius.

Beliau juga memerintahkan tertuduh menjalani program pemulihan yang dikendalikan Jabatan Penjara sepanjang tempoh pemenjaraannya dan selepas tamat hukuman penjara, tertuduh perlu berada dalam pengawasan polis selama dua tahun.

Mohd Khairul Nizam didakwa merogol mangsa, seorang pekerja hotel, berumur 29 tahun, di Bilik 206, Hotel Metro, Jalan Changkat Thamby Dollah Off Jalan Pudu, di Kuala Lumpur  antara pukul 12 malam dan 1 pagi, 10 Dis 2006.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS