Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (SHSB), pemaju projek empangan Elektrik Hidro Bakun sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri Sarawak untuk mula menaikkan paras air empangan itu secepat mungkin bagi mengurangkan kos projek itu.

sarawak energy board slide show hydropower project in sarawak 180608 bakun dam Pengarah Urusan SHSB, Zulkifle Osman berkata, segala keperluan teknikal untuk memulakan kerja-kerja itu sudah disiapkan sejak April lalu.

Katanya, proses menakung air itu dijangka mengambil masa tujuh bulan bagi membolehkan paras air mencecah tahap minimum operasi iaitu 195m atas paras laut untuk melaksanakan ujian turbin.

"Kami harap akan dapat berita baik tidak lama lagi untuk meneruskan projek dan memberi manfaat kepada penduduk,” katanya kepada pemberita pada satu taklimat media di Bakun hari ini.

Sebaik sahaja takungan ini dipenuhkan, empangan yang merentasi Sungai Balui, Sungai Murum, Sungai Bahau, Sungai Pelepeh dan Sungai Lanau itu akan mempunyai keluasan permukaan 695 km persegi iaitu seluas Singapura.

NONE Zulkifle berkata, kerja-kerja menaikkan paras air itu adalah operasi yang berisiko yang memerlukan perancangan teliti dan penyediaan pelan kecemasan.

Projek Elektrik Hidro Bakun yang membabitkan kos RM7.3 bilion itu, dijangka berupaya menjana 2,400 megawatt (MW), dan sehingga kini 95 peratus daripada projek itu sudah siap dilaksanakan.

Katanya SHSB turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sarawak untuk menyelamatkan haiwan sewaktu kerja-kerja menaikkan paras air itu dilakukan.

"Kami mensasarkan beberapa pulau akan terbentuk di bahagian hulu iaitu 50 km dari empangan itu ketika kerja-kerja menaikkan paras air itu dibuat. Lebih 34,000 tumbuh-tumbuhan ditempatkan di nurseri dan sedia untuk ditanam semula ketika menunggu proses itu dilaksankakan," katanya.

- Bernama