Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bumiputera diingat tak perlekeh sumbangan DEB
Diterbitkan:  Aug 7, 2010 3:18 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Bumiputera diingatkan supaya tidak memperlekeh sumbangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah membantu dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Malaysia sehingga kini.

mustafa mohamed and malay chamber of commerce president syed ali ali-attas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kejayaan terbesar dasar itu ialah memberi peluang pendidikan kepada masyarakat sehingga tertubuhnya Universiti Teknologi Mara dan syarikat besar seperti Permodalan Nasional Bhd.

"Jangan memperlekeh DEB kerana dengan adanya dasar tersebut, kita dapat peluang untuk belajar sehingga ke tahap ini," katanya ketika merasmikan Seminar Rancangan Malaysia Ke-10 di Kuala Lumpur hari ini.

Seminar itu dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM.

Mustapa berkata fokus kerajaan dalam RMK-10 ialah pembangunan kapasiti dan akan menggunakan segala pengajaran dan pengalaman yang diperoleh melalui DEB untuk memastikan kejayaan rancangan tersebut.

"Saya akan bawa segala cadangan di sini ke Mesyuarat Peringkat Tertinggi Agenda Pembangunan Bumiputera yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi," katanya.

Mesyuarat pertama yang dijangka berlangsung 12 Ogos ini, akan diadakan setiap tiga bulan sekali, di mana ia akan merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

Terdahulu, Presiden DPMM Syed Ali Alattas mencadangkan kerajaan menubuhkan Tabung Pembangunan Usahawan bernilai RM1 bilion, dengan tidak kurang daripada 30 peratus kontrak kerajaan diberikan kepada Bumiputera.

Pada sidang akhbar, Mustapa turut menolak dakwaan luar yang kononnya Bumiputera merupakan punca utama kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI).

"Ia bukan isu," katanya sambil menambah jumlah penglibatan Bumiputera dalam sektor pembuatan, yang merupakan sektor utama penyumbang FDI, sangat sedikit.

Selain itu, beliau juga mencadangkan penubuhan dewan perniagaan 1Malaysia bagi usahawan muda pelbagai bangsa yang berumur 35 tahun ke bawah, dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum.

"Saya dapati jurang antara usahawan-usahawan muda Melayu dan bangsa lain semakin ketara dan ini agak berbahaya dan boleh menjejaskan kedudukan ekonomi pada masa hadapan," katanya.

Dengan penubuhan itu, yang akan dimulakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), beliau berharap usaha kerjasama strategik dapat diwujudkan, sekaligus dapat mengekalkan perhubungan harmoni antara kaum bagi kesejahteraan negara pada masa hadapan.

- Bernama

ADS