80% pemegang saham Maika terima tawaran
G Team Resources & Holding Sdn Bhd hari ini berkata 80 peratus pemegang saham Maika Holdings Bhd menerima tawarannya.
Ia juga merayu kepada lebih 9,000 pemegang saham yang belum memberi respons terhadap tawaran berkenaan supaya menghubungi talian 03-22643883 bagi mendapatkan bantuan.
G Team Resources, sebuah firma milik jutawan pelabuhan, Tan Sri G. Gnanalingam, menawarkan 80 sen bagi setiap saham Maika kepada pemegang saham, yang akan dibayar secara tunai.
Tawaran itu dibuat berasaskan pelaburan asal pemegang saham Maika sebanyak RM100 juta dan 25 juta saham bonus yang diterima pada 1996.
Dalam satu kenyataan hari ini, G Team mengesahkan jumlah sebenar pemegang saham Maika iaitu seramai 58,000 dan bukan 66,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini.
"Ini kerana ada saham yang dipegang oleh individu, perbadanan dan koperasi bagi pihak pemegang saham," katanya.
Antara pemegang saham yang tidak memberi respons, G Team, menerusi bantuan Jabatan Pendaftaran Negara, mengenal pasti 5,351 pemegang saham telah meninggal dunia, manakala 2,163 tidak dapat dikesan dan 11,000 pemegang saham lain sudah bertukar alamat.
Susulan itu, G Team menulis surat kepada 11,000 pemegang saham dan daripada jumlah itu, 1,092 memberi jawapan.
"Daripada angka itu, hanya 400 berkata mereka masih mengekalkan saham itu dan teragak-agak untuk tampil ke depan manakala selebihnya tidak mengetahui sijil saham berkenaan," katanya.
Selain itu, sejumlah 6,600 surat tawaran yang hantar kepada pemegang saham sebelum ini, dipulangkan kerana perubahan alamat atau pemegang saham telah berpindah.
Menurut kenyataan itu, ia merupakan panggilan akhir kepada pemegang saham dan jika mereka gagal berbuat demikian, syarikat akan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengesahkan bahawa pemegang saham tidak wujud.
- Bernama

