Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor akan menganjur Seminar Perspektif Muda Sabtu ini  sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri menambahbaik dasar dan pelaksanaannya dengan mengambil kira suara orang muda.

Seminar tersebut dijangka mengumpulkan lebih 200 profesional muda dan aktivis dari pelbagai latar belakang yang akan berpeluang untuk

mengenengahkan pandangan, cadangan dan kritikan mereka terhadap pelbagai isu.

Menurut kenyataan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, seminar itu akan turut disertai wakil rakyat muda yang diberi amanah untuk berbincang dan memahami pandangan tersebut untuk dibawa ke perhatian menteri besar Selangor.

Peserta seminar akan dibahagikan kepada tiga kumpulan yang akan memberikan fokus kepada bidang yang khusus iaitu ekonomi, pendidikan dan pendemokrasian pentadbiran.

"Pada setiap sesi, peserta akan diberi peluang untuk bertukar kumpulan supaya pandangan yang luas dari semua peserta dapat digarabkan bersama," tambahnya.

Seminar tersebut akan dirasmikan oleh Exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong. Manakala penasihat ekonomi negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama dan berdialog, di majlis penutupannya.

Sepanjang seminar ini, peserta akan berpeluang untuk bertukar pandangan dengan ahli parlimen dan para ADUN.

Menurut kenyataan itu lagi, 40.5 peratus daripada 11.65 juta penduduk Malaysia dalam kategori umur 15 hingga 39 tahun dan merupakan kumpulan terbesar di negara itu.

"Mereka sering dirujuk sebagai golongan belia/muda dan semestinya perspektif mereka mengenai isu-isu nasional akan mempunyai kesan yang mendalam kepada halatuju negara.

"Oleh sebab itu, golongan muda mempunyai hak yang besar dalam menentukan perkembangan isu-isu yang mempengaruhi pembinaan bangsa dan

negara. Mereka juga adalah golongan yang paling terkesan dengan kelembapan ekonomi negara.

"Contohnya, perubahan harga rumah atau kenaikan harga bahan api dan barangan asas baru-baru ini meninggalkan kesan yang lebih besar kepada golongan ini kerana mereka membentuk golongan buruh dan pekerja bawahan yang terbesar di dalam masyarakat ini," tambahnya.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut menegaskan bahawa pandangan mereka mengenai isu urus tadbir, kecekapan pentadbiran awam dan perpaduan nasional akan mencorakkan bentuk negara Malaysia di dekad akan datang.

"Maka, pandangan golongan belia/muda perlu dipupuk, didengar dan diambil kira secara berterusan dan jujur dengan mengangkatnya ke arus perdana," katanya.