Seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di No 18 Jalan Matang Jelutong, Bagan Serai, 120 kilometer dari Ipoh malam tadi.

Mayat Jumli Utar, 70, ditemui dalam bilik air di rumah itu selepas kebakaran dipadamkan. Mayatnya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata Jumli yang tinggal seorang diri dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi terperangkap dalam bilik air rumahnya itu.

Kematiannya dipercayai akibat lemas selepas terhidu asap tebal ketika berada dalam bilik air untuk mencari jalan keluar, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kejadian pada pukul 8.52 malam itu memusnahkan sama sekali rumah papan warga emas itu dan pasukan bomba mengambil masa satu jam untuk memadamkan kebakaran.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya.

--Bernama