BERITA

KJ, Khalid bersemuka isu RMK10

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Ogs 2010, 10:17 pagi

Dua tokoh parti yang 'bermusuh', Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan ahli biro politik PAS Khalid Samad - yang terkenal dengan kelantangan masing-masing - akan dipertemukan lagi dalam sebuah forum Rabu ini.

Kali ini, mereka berdua dijadual membentangkan analisis berhubung Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Menurut penganjurnya - majalah kewangan The Leaders - forum tersebut diharapkan dapat menyalurkan ringkasan komprehensif terhadap rancangan itu, termasuk membahaskannya daripada aspek modal insan.

"Menemukan dua pihak yang berbeza parti politik, Khairy dan Khalid akan berkongsi pandang mereka berhubung RMK10 dan apa kepentingannya kepada sektor perniagaan dan individu," jelas The Leaders salam satu kenyataan hari ini.

Pada 1 Ogos Khairy vs Ibrahim Ali and khalid samad lalu, Khairy dan Khalid telah dipertemukan secara tiga penjuru bersama Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali dalam sebuah forum membincangkan politik ideologi dan bangsa dalam Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia ke-4.

Bagaimanapun, tumpuan pelbagai pihak ketika itu hanya berpusat kepada Khairy dan Ibrahim ekoran pertelingkahan dan kata-mengata kedua-dua pemimpin itu dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang panas ketika itu.

Sehubungan itu, pertemuan Rabu depan ini dilihat bakal menghasilkan debat yang hangat dengan hujah-hujah dan sindiran tajam masing-masing.

Ini kerana, disamping mempunyai retorik yang menarik, kedua-dua pemimpin yang sering dirundung kontroversi itu dilihat 'agak intelektual' kerana mendapat pendidikan tinggi daripada universiti luar negera.

NONE Menurut kenyataan The Leaders lagi, majlis tersebut diharapkan memberikan manfaat kepada pemain dalam industri, pegawai kerajaan dan peserta yang hadir, yang mana ia antaranya bertindak sebagai satu 'bedah siasat' kepada RMK10.

"Di akhir program, penganjur harap terdapat pihak pembuat keputusan daripada pelbagai industri bersama-sama berkongsi pandangan dan pengalaman unik masing-masing dalam mendepani cabaran masa lalu dan merancang tindakan untuk masa depan," kata kenyataan itu.

Forum dua bulan sekali The Leaders sekali merupakan nilai tambah yang ditawarkan oleh penerbitnya MY Events Publication bagi mengemaskan jaringan antara syarikat dan pembuat keputusan.

Majalah dengan edaran 10,000 naskhah itu dikenali peneraju sebagai media untuk perniagaan, berita politik dan trend.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.