Penolakkan DEIA loji arang batu perlu dihormati
Laporan penilaian impak alam sekitar terperinci (DEIA) bagi cadangan membina loji janakuasa arang batu 300 megawatt di Sinakut, Lahad Datu telah ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ketua pengarahnya, Datuk Rosnani Ibarahim berkata surat penolakkan itu dihantar semalam kepada semua ahli jawatankuasa panel yang ditubuhkan bagi mengkaji cadangan berkenaan.
Jawatankuasa itu termasuk perwakilan dari Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Tenaga Nasional Bhd dan agensi berkaitan.
"Ssyarikat berkenaan boleh merayu jika memilih untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu,
Bernama
melaporkan menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar, Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata di bawah prosedur biasa, penyokong projek berkenaan (Lahad Datu Energy Sdn Bhd, di mana Tenaga Nasional Bhd mempunyai kepentingan) sama ada melepaskan projek itu atau merayu untuk DEIA lain dikendalikan.
"Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah telahpun memberikan jaminan yang kerajaan akan bertindak berdasarkan alasan profesional.
"Buat masa ini, semua pihak harus menghormati keputusan JAS yang bersandarkan kepada laporan yang dikemukakan oleh perunding yang dilantik oleh penyokong projek," katanya.
Masidi mengulas keputusan yang JAS telah menolak DEIA berkenaan.
Menurut laporan itu, pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Yabi Yangkat, berkata yang beliau telah dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh ketua pengarah JAS menerusi pesanan faksimili semalam.
Yabi berkata, sebab utama penolakan DEIA yang disediakan oleh kumpulan perundingan Bakarunding Universiti Kebangsaan Malaysia itu ialah banyak parameter penting alam sekitar berhubung projek yang dicadangkan itu, tidak ditangani dalam laporan DEIA berkenaan.
Green Surf atau "Sabah Unite to Re-Power the Future", gabungan yang membantah loji janakuasa arangbatu itu turut menyuarakan kebimbangan yang sama pada Julai lalu dan mendakwa yang DEIA itu silap.
M
engenai maklum balas kerajaan negeri, Masidi berkata: "Saya rasa anda perlu tanya penyokong projek itu".
Beliau berkata, pasti ada alternatif selain daripada arang batu tetapi isunya ialah "kos menjana kuasa menerusi alternatif lain".
"Tetapi kita perlu terima hakikat yang bahan bakar fosil tidak akan bertahan selama-lamanya," katanya.
Sementara itu, Green Surf, dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini berkata kerajaan seharusnya membatalkan loji janakuasa yang dirancang itu berikutan penolakan laporan DEIA.
"Inilah masanya untuk pemegang kepentingan bekerjasama mengusahakan rumusan alternatif kepada tenaga kotor seperti arang batu, dalam menyelesaikan kekurangan kuasa di dalam negeri.
"Kini agensi Persekutuan telahpun membuat keputusannya, kami berharap, kerajaan negeri akan turut mengambil pendirian," katanya.
Ahli Green Surf, Wong Tack berkata, keputusan JAS sudah jelas sekali di mana terdahulu, kerajaan negeri pada April 2008 telah menolak DEIA untuk cadangan tapak pertama di Silam - juga di Lahad Datu - atas sebab ia akan memberikan kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan.
Wong yang juga presiden persatuan perlindungan alam sekitar Sabah (Sepa) berkata semua pihak seharusnya bersama-sama melakarkan laluan baru ke arah tenaga yang lebih bersih yang boleh mewujudkan pekerjaan.
"Kita jangan buang masa dan tenaga lagi. Kita yakin yang alternatif boleh dilaksanakan dengan berkesan dalam tempoh jangka pendek," katanya.
Lokasi terbaru dalam lingkungan Felda Sahabat telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sendiri pada September tahun lalu.
Green Surf ialah gabungan lima pertubuhan bukan kerajaan, antaranya termasuklah Sepa, WWF-Malaysia dan Persatuan Pencita Alam Malaysia.

