Pertemuan Pemuda PAS dan Saifuddin dibatalkan
Pertemuan Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan.
Menurut pegawai media DPPP pusat, Fadhil Osman, pembatalan itu adalah atas permintaan timbalan menteri pengajian itu sendiri "atas sebab-sebab tertentu".
"Satu tarikh baru akan diberitahu dalam waktu terdekat," kata Fadhil dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Sebelum ini, DPPP mahu menemui Saifuddin yang juga ahli majlis tertinggi Umno berhubung isu kewajaran mahasiswa terlibat dalam politik.
Melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Saifuddin 16 Ogos lalu, DPPP mencadangkan pertemuan itu diadakan pada jam 2.30 petang ini, di pejabat timbalan menteri berkenaan
Sementara itu, Fadhil mengumumkan bahawa Khairul Faizi Ahmad Kamil telah dilantik sebagai setiausaha DPPP yang baru.
Beliau menggantikan Kamaruzzaman Mohamed yang juga ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

