RTM perlu diperbaiki supaya relevan
Warga RTM diminta sentiasa mempertingkatkan mutu kerja dan memperbaiki kelemahan dari masa ke semasa supaya stesen penyiaran itu lebih relevan pada masa akan datang, kata Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya.
Be
liau berkata mereka tidak boleh lalai dalam menjalankan tugas kerana stesen penyiaran itu dipandang tinggi oleh masyarakat.
"Kalau kita ambil contoh dalam siaran azan, jika kita silap siaran waktunya mereka akan panggil RTM dan memperbetulkannya. Begitu juga pada waktu sahur dan berbuka kalau kita silap melakukannya kita akan ditegur," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran sambutan kemerdekaan ke-53 dan Hari Malaysia ke-47 di Angkasapuri hari ini.
Beliau juga berkata sebagai stesen penyiar yang 'dewasa' bersama negara dalam memperjuangkan kemerdekaan, RTM akan memastikan hanya program yang bermutu tinggi akan disiarkan termasuk untuk tontonan sempena menyambut kemerdekaan negara.
"Ia bertujuan supaya rakyat lebih menghayati kemerdekaan negara dan dapat bersama-sama memberi sumbangan walaupun kecil seperti mengibarkan Jalur Gemilang dan memastikan bahawa kemerdekaan negara ini dapat dipertahankan," kata beliau.
Antara program yang disediakan RTM untuk menyambut kemerdekaan adalah pameran 'Memperingati Detik Sejarah Kemerdekaan' dan pameran 'RTM Mengisi Kemerdekaan' di Muzium Penyiaran, Angkasapuri serta tayangan filem dokumentari dan drama serta kuiz merdeka 53 yang bermula hari ini hingga 30 Sept.
Pameran itu juga terbuka kepada orang ramai yang berminat untuk melihat khazanah peralatan dan kelengkapan dalam bidang penyiaran yang digunakan sejak sebelum merdeka untuk menjayakan misi kerajaan bagi memupuk semangat patriotik di kalangan masyarakat.
Dalam pada itu Ibrahim menafikan RTM tidak menyiarkan filem dokumentari sempena menyambut Hari Kebangsaan seperti yang didakwa ruangan pojok 'Siti Jarum' di akhbar Mingguan Malaysia semalam.
Sebaliknya Ibrahim berkata RTM akan menyiarkan dokumentari bertajuk 'Jejak Jaya...1 Destinasi' pada pukul 5.30 petang, 31 Ogos di TV1 yang memaparkan tiga individu yang berjaya dalam kehidupan pada era kemerdekaan.
- Bernama

