Bicara kes Anwar saman Anifah Aman 19 Oktober
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 19 Okt untuk perbicaraan kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berjumlah RM100 juta.
Timbalan Pendaftar, K Pavani menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam SN Nair mewakili Anwar dan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Anifah atas kedudukan peribadinya.
Anwar menyaman Anifah atas kedudukan peribadinya sebagai ahli parlimen Kimanis serta kedudukan rasmi sebagai Menteri Luar, dan menteri itu dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, sementara kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.
Pada 27 Mei tahun lalu, Anwar memfailkan saman itu berikutan kenyataan menteri luar itu pada sidang akhbar bersama setiausaha negara Amerika Syarikat Hillary Clinton 16 Mei tahun lalu, yang mendakwa ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri sekiranya ketua pembangkang itu menubuhkan kerajaan pada 16 September, 2008.
Anwar juga mendakwa Anifah memfitnahnya dengan menyatakan beliau cuba membeli ahli parlimen dan mencemarkan imej negara.
- Bernama

