BERITA

QBB nafi minyak sapinya ada lemak babi

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Ogs 2010, 10:00 pagi

Syarikat QBB (Pte) Ltd hari ini menafikan bahawa produk minyak sapi keluaran syarikat itu di bawah jenama QBB Pure Ghee mengandungi lemak babi atau bahan yang berasal daripada haiwan tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Fox Communications bagi pihak syarikat berkenaan, QBB membuat penafian itu berikutan laporan media baru-baru ini selain dakwaan sekumpulan persatuan pengguna berhubung perkara itu.

Pengarah QBB Lim Peck Bin berkata syarikat berkenaan menerima surat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertarikh 19 Ogos menyatakan bahawa tiada lemak babi atau bahan lain yang berasal daripada haiwan tersebut dikesan dalam minyak sapi jenama QBB Pure Ghee selepas satu analisis terperinci dilakukan.

Bagaimanapun, beliau berkata Jakim bertindak menggantung sijil halal bagi produk itu sementara menunggu hasil analisis berhubung kemungkinan wujud bahan asing lain dalam produk berkenaan.

"Penggantungan sijil halal tersebut tidak menghalang QBB daripada menjual produk berkenaan. Kami hanya diminta membuang logo halal itu sementara menunggu analisis lanjut oleh Jakim," katanya.

Lim berkata QBB akan bekerjasama dengan Jakim dan pihak berkuasa lain bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pengguna, terutama umat Islam.

"QBB akan mengatur satu lawatan bersama pegawai Jakim ke Australia bagi melihat sendiri fasiliti pengeluaran minyak sapi syarikat kami.

"Ini akan membolehkan Jakim membuat kajian lanjut dan mengesahkan bahawa produk kami sesuai untuk pengguna Islam serta memenuhi keperluan sijil halal," katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.