Green Surf: Kemuka nama rakyat yang mahu loji
Green SURF (Sabah Unite to Re-Power the Future) meminta jawatankuasa bertindak perhimpunan rakyat mengemukakan nama mereka yang didakwanya mahukan projek loji tenaga menggunakan kuasa arang batu diteruskan pelaksanaannya di Sinakut, Lahad Datu.
Jurucakapnya Wong Tack, yang juga presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (SEPA), berkata satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pengerusi jawatankuasa itu A Nagaraju memberi maklumat lanjut tentang dakwaannya bahawa rakyat di pantai timur Sabah mahu projek itu diteruskan.
"Rakyat telah menolak projek ini sejak tapak pertamanya di Silam, Lahad Datu dan akhirnya kerajaan negeri menolak penggunaan kawasan itu setelah mengambil kira perkara berkaitan kesihatan dan alam sekitar.
"(Selepas itu) cadangan dibuat agar ia dibina di Sandakan dan penduduk di sana juga membantahnya," kata Wong dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini bagi mengulas dakwaan Nagaraju bahawa penduduk di pantai timur Sabah mahukan projek itu dilaksanakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata tinjauan pendapat dalam kalangan anggota Dewan Perniagaan Cina Lahad Datu mendapati 86.2 peratus responden menolak projek itu.
Pada 19 Ogos, Jabatan Alam Sekitar menolak penilaian terperinci kesan terhadap alam sekitar (DEIA) berhubung pembinaan loji tenaga elektrik 300 megawatt itu.
27 Ogos lalu, Nagaraju mendakwa rata-rata anggota masyarakat di kawasan Pantai Timur Sabah masih mahukan projek itu diteruskan meskipun laporan penilaian impak alam sekitar terperinci (DEIA) bagi cadangan loji janakuasa arang batu 300 megawatt di Sinakut, Lahad Datu ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini.

