Empat laporan polis terhadap Namewee
Polis mengesahkan telah menerima empat laporan berhubung klip video berbaur perkauman terbaru oleh pemuda dari Muar Johor, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee.
Laporan pertama dibuat kelmarin di IPD Kulaijaya dan tiga lagi laporan dibuat semalam di Johor Jaya, Pasir Gudang dan Masai, kata ketua polis Johor DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
"Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagi kesalahan seterusnya pelaku boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun.
Beliau mengingatkan semua pihak agar membiarkan polis melakukan siasatan dan tidak perlu bagi mereka mempolitikkan perkara tersebut.
Klip video terbaru itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.
Namewee dalam klip video itu antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.
Selain itu Namewee dalam klip video di laman web Youtube, berulang kali menunjuk isyarat lucah serta baris perkataan tidak senonoh.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya mengenai tindakan terhadap Namewee berkata, tiada kompromi terhadap perkara yang bersangkut paut dengan keharmonian dan keamanan negara.
"Kalau ada yang beranggapan (perbuatan) itu tidak menerima tindakan atau kerajaan lambat bertindak atau memilih-milih, sebenarnya ia tidak begitu. Apa yang penting sekarang ialah tindakan tegas kerana kita tidak akan berkompromi dengan isu seperti ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) Kelima di ibunegara hari ini.
Mengenai kenyataan berbaur perkauman oleh Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor, baru-baru ini, Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran, berkata jawatankuasa khas yang menyiasat perkara itu telah menyerahkan laporan berkenaan.
Katanya kes itu diserahkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, untuk mengambil tindakan berdasarkan peraturan disiplin jabatan.

