Bahasa isyarat dalam khutbah di T'ganu
Bahasa isyarat akan turut digunakan dalam menyampaikan khutbah Jumaat di Terengganu jika terdapat permohonan daripada masyarakat setempat, kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEA) Datuk Sheikh Harun Ismail.
"Kita telah memperkenal khutbah bahasa isyarat ini di Masjid Al-Abrar Kampung Bukit Tok Beng, buat permulaan kepada pelajar-pelajar kurang pendengaran dan sambutannya amat baik," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.
Sheikh Harun berkata JHEAT tidak mempunyai rancangan untuk membina mesjid bagi kaum India Muslim di Kuala Terengganu.
Beliau berkata ini kerana bilangan kaum India Muslim di bandar ini tidak begitu ramai dan masjid-masjid yang ada sudah memadai.
Bagaimanapun JHEAT mungkin membina sebuah surau untuk kaum India Muslim berkumpul, katanya.
- Bernama

