Nurul Izzah cadang terbit 'Utusan Rakyat'
Sempena semangat kemerdekaan negara esok, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah bercadang untuk menerbitkan satu akhbar harian berjudul Utusan Rakyat untuk menyiarkan berita pro-rakyat.
Katanya, beliau telah memohon kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mendapatkan permit bagi "mewujudkan wadah penglibatan konstruktif semua pihak" dalam isu-isu melibatkan dasar.
"Walau sekarang permohonan di bawah nama saya, sebagai satu projek rakyat, saya bercadang meletakkan milikan kepada satu lembaga amanah yang terdiri daripada tokoh masyarakat yang dipelawa," katanya lagi ketika dihubungi hari ini.
Tujuan penerbitan akhbar itu ialah untuk membuktikan kebebasan hak bersuara rakyat benar-benar wujud setelah 53 tahun kemerdekaan negara ini, katanya.
Cadangan untuk menerbitkan akhbar itu timbul berikutan serangan yang dilancarkan oleh "dua orang naib presiden Umno dan menteri kabinet" berhubung pandangannya yang disiarkan oleh akhbar sebuah akhbar Indonesia seb elum ini, kata Nurul Izzah.
Beliau antara lainnya dilabelkan sebagai seorang "penderhaka" oleh Menteri pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi kerana memberitahu akhbar Kompas bahawa kapal selam KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam.
Katanya lagi, perkembagan isu berkenaan juga menyedarkannya mengenai kepentingan menjalankan "pendekatan penglibatan konstruktif" berkaitan isu yang mempunyai kepentingan rakyat.

