BERITA

Kes Raja Petra: Rayuan KDN ditangguh

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Sep 2010, 9:41 pagi

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan rayuan oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan penulis blog Raja Petra Kamarudin yang ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

raja petra released from prison 090508 Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu tiga panel hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra, menyebabkan beliau tidak hadir hari ini.

Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan rayuan itu kerana mereka masih belum menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra, yang juga editor laman web Malaysia Today.

Apabila ditanya oleh hakim Hashim tentang peluang untuk menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra, Tun Majid menjawab: "Alamat Raja Petra masih tidak diketahui".

raja petra exile london metropolitan police Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Raja Petra memberitahu mahkamah, rayuan itu bersifat akademik kerana perintah menteri untuk menahan anak guamnya selama dua tahun telahpun tamat.

"Perkara itu bersifat akademik tetapi tiada apa yang boleh menghalang menteri untuk mengeluarkan perintah baru selepas dua tahun," katanya.

Tun Majid berkata perintah menteri itu akan bersifat akademik selepas 21 Sept 2010.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Tun Majid berkata pihak pendakwaan tidak tahu di mana Raja Petra berada sekarang kerana pihaknya tidak mempunyai alamat beliau.  

Pada 7 Nov, 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada ISA selepas memutuskan penahanannya selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak adalah tidak sah.

raja petra court case 060508 petra arrested Raja Petra ditangkap pada 12 Sept, 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara dan perintah untuk menahan beliau di bawah ISA dikeluarkan pada 22 Sept, 2008.

Penulis blog itu ditahan atas alasan beliau antara lain, memiliki dan mengusahakan laman web Malaysia Today dan berniat dan sengaja menyiarkan artikelnya dan juga komen pembaca dalam Malaysia Today yang kritikal dan menyinggung perasaan orang Islam, kesucian Islam dan Nabi Muhammad.

Dalam permohonan habeas corpus, Raja Petra menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai reponden.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.