PM mahu perpaduan dipupuk antara lapisan kaum
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu melihat Malaysia terus aman damai dengan semangat perpaduan terjalin secara intra dan inter kumpulan di kalangan semua kaum.
Perkara itu dinyatakan oleh Najib ketika pertemuan dengan Jawatankuasa Mempromosikan Keharmonian dan Persefahaman antara Penganut Agama pada Selasa lalu di pejabatnya di Putrajaya.
Penyelaras khas perhubungan antara penganut agama, Datuk Ilani Isahak yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, perdana menteri semasa menyampaikan amanatnya mengakui perlunya diadakan banyak lagi perjumpaan dengan jawatankuasa ini dan beliau menganggap perjumpaan kali ini merupakan permulaan.
"Beliau (Najib) melafazkan sokongan kepada jawatankuasa ini sebagai sebuah mekanisme yang boleh menyelesaikan masalah atau isu dan menyatakan persetujuan untuk menyediakan bajet bagi membantu kerja-kerja jawatankuasa ini,” kata Ilani dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Ilani berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan untuk memupuk keharmonian di kalangan masyarakat sebagai menepati hasrat gagasan 1Malaysia yang membawa perpaduan ke tahap lebih bermakna.
Perjumpaan selama 45 minit itu turut dihadiri dua penasihat jawatankuasa berkenaan, masing-masing Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Rombongan itu yang diketuai oleh Ilani terdiri daripada wakil-wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) dan Interfaith Spiritual Fellowship (INSAF).
- Bernama

