Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anak RPK bebas tuduhan mencuri, pecah rumah
Diterbitkan:  Sep 22, 2010 1:27 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Anak penulis blog yang melarikkan diri di luar negara, Raja Petra Kamarudin hari ini dibebaskan daripada dua tuduhan mencuri  sebuah motosikal milik seorang operator pengeluaran dan memecah masuk rumah lelaki itu pada Mac tahun lalu, tanpa dipanggil membela diri.

NONE Dalam penghakimannya, majistret Shah Alam, Norkamilah Aziz berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Raja Azman Raja Petra.

Timbalan Pendakwa Raya Sharon anak Jikin hadir bagi pihak pendakwaan sementara Raja Azman diwakili peguam J Chandra dan Amarjit Singh Sidhu.

Raja Azman, 34, dibebaskan daripada tuduhan mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ milik Mohd Syaiful Setapa, 24, seorang operator pengeluaran, membabitkan kerugian RM8,000 di No 65, Jalan Batas 2, 19/6B, Seksyen 19 di Shah Alam pada 9.30 pagi, 20 Mac tahun lalu.

Menurut peguamnya Chandra, anak guamnya itu masih menghadapi dua lagi tuduhan berhubung kecurian ke atas dirinya.

“Kami akan mengemukakan pembatalkan tuduhan berkenaan berikutan keputusan hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

raja azman raja petra Raja Azman pada 19 Mei tahun lalu pada mulanya mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan mencuri dan memiliki barang-barang curi, termasuk sebuah motosikal.

Dia bagaimanapun pada 19 Jun tahun lalu telah mengubah pengakuannya itu dan minta dibicarakan.

Beliau dijadualkan dibicarakan untuk dua lagi pertuduhan pada 25 November lalu.

Raja Azman ditahan dipenjara Sungai Buloh sehingga penulis blog Bernard Khoo, yang juga kawan Raja Petra membayar wang jaminan RM10,500 pada Mac tahun ini.

Pada 8 Februari lalu, anak lelaki editor Malaysia Today itu dimasukkan ke hospital selepas dia dipercayai menelan sebilah pisau cukur.

Raja Azman, dijumpai dalam keadaan lemah dalam sel penjaranya oleh petugas dari penjara Sungai Buloh semasa melakukan tugas rondaan dan terdapat kesan kelar di pergelangan tangannya.

Raja Petra kemudiannya mendakwa bahawa anaknya mengambil tindakan drastik itu memandangkan dia tidak lagi dapat manahan siksaan fizikal dan mental yang dikenakan terhadapnya oleh pihak berkuasa penjara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS