Mendekati hati masyarakat Penan
Liwan Lagang bangga dengan peranan beliau sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, yang merupakan DUN terbesar di Sarawak.
DUN ini merupakan satu daripada dua DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Rajang yang keluasannya hampir sama dengan negeri Pahang di Semenanjung.
Bagaimanapun kawasan DUN sebesar ini membawa cabaran besar bagi Liwan, ataupun bagi sesiapa sahaja yang menjadi wakil rakyatnya.
"Mobiliti merupakan cabaran besar. Hanya melalui komitmen sebenar dan melalui bantuan daripada rakan, anggota parti, NGO saya dapat melawat kawasan," kata beliau kepada Bernama dalam temubual terbaru di Long Tanyit, sebuah daripada penempatan minoriti Penan di Belaga.
Perjalanan jauh
Liwan, seorang anggota majlis tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), satu daripada parti komponen BN negeri, berkata untuk meredah jauh ke pedalaman kenderaan pacuan empat roda perlu disewa pada kadar RM500 sehari dan ia akan mengambil masa perjalanan selama tiga hari walaupun menggunakan laluan paling singkat.
"Jika pegawai kerajaan turut mengiring, maka kami perlu mendapatkan sehingga empat kenderaan yang akan meningkatkan lagi kos sehingga RM6,000. Kemudian perlu mendapatkan kebenaran daripada syarikat-syarikat pembalakan di kawasan itu untuk menggunakan jalan mereka, sesuatu yang mandatori," katanya.
Walaupun kesukaran yang terpaksa diharunginya, Liwan, seorang bekas guru dan pegawai pendidikan sebelum menceburi politik pada 2006 telah menjelajah 95 peratus daripada kawasan pilihan raya yang majoriti penduduknya ialah Orang Ulu (Kenyah, Kayan dan Kajang, Lahanan, Kejaman, Sekapan, Punan dan Penan).
Terdapat 6,691 pengundi berdaftar di DUN ini. Kawasan Penempatan Semula Sungai Asap/Sungai Koyan mempunyai bilangan penduduk paling ramai sekali iaitu 4,103 orang dari 15 rumah panjang di situ.
Kebanyakan mereka adalah daripada masyarakat Kenyah dan Kayan yang berpindah dari pedalaman ekoran pelaksanaan projek Empangan Hidro Bakun bernilai RM7.3 bilion. Jalan-jalan baik memudahkan perjalanan ke situ.
Perlu diajar tanam padi
Liwan bersemangat apabila berbicara mengenai masyarakat minoriti Penan. Beliau berkongsi minat yang sama dengan anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo.
Terdapat lebih 3,000 daripada mereka dalam daerah itu dan lazimnya boleh ditemui di penempatan-penempatan utama - Long Luar, Lusong Laku dan Long Urun.
"Impian saya ialah untuk mengubah cara pemikiran mereka akan gaya hiudp mereka. Mereka perlu diajar menanam tanaman makanan seperti padi.
"Hutan masih ada. Tetapi ia pesat digantikan dengan ladang kelapa sawit dan ladang balak selain aktiviti pembalakan. Mereka semakin kehilangan sumber makanan," katanya.
Liwan berkata Lembah Linau, yang merupakan kawasan tadahan bagi Empangan Bakun tidak harus dibuka bagi aktiviti pembalakan atau perladangan kelapa sawit untuk membolehkan masyarakat Penan, belajar bercucuk tanam.
Pada masa yang sama bagi yang terjejas kerana projek Empangan Murum, mereka harus diperuntukan kawasan dengan keluasan yang cukup untuk membolehkan mereka meneruskan dengan cara hidup tradisonal seperti memburu, mengumpul hasil hutan dan bercucuk tanam.
Sangat subur
Secara amnya, kata beliau, mereka yang terjejas kerana projek ini bersedia untuk ditempatkan semula.
"Tetapi publisiti negatif di skim Sungai Asap/Sungai Koyan mungkin telah menakutkan mereka.
Mereka mungkin mendengar yang mereka yang ditempatkan di situ perlu membayar bagi air yang dirawat dan bekalan kuasa selain kekurangan tanah untuk bercucuk tanam.
Bagaimanapun, kerajaan negeri mengetepikan tunggakan bernilai RM1.7 juta bagi tempoh 1998 hingga 2006. Saya sangat bangga kerana dapat membantu di sini,"
katanya.
Liwan berkata yang kerajaan negeri perlu mendampingi masyarakat Penan selain Stesen Pertanian di Lusong Laku dibuka semula untuk mengajar mereka menanam padi.
"Kita perlu mempunyai pegawai-pegawai dengan iltizam tinggi bagi tugas ini. Kawasan ini sangat subur.
"Kerajaan juga perlu memutuskan dengan cepat di mana ia mahu menempatkan semula 1,000 anggota masyarakat Penan daripada lapan buah rumah panjang yang terjejas kerana Empangan Murum supaya kemudahan serta sekolah-sekolah dalam bilangan mencukupi dapat diambil kira dalam perancangan," kata beliau.
Beliau berkata masyarakat Penan di sini tidak berpihak kepada NGO Barat atau tempatan yang mengambil pendirian yang kurang mesra untuk mengutarakan nasib mereka, bukan seperti rakan-rakan mereka di daerah Baram.
Terhutang budi kepada kerajaan
Lagipun, mereka terhutang budi kepada kerajaan kerana bantuan yang diterima selama ini.
"Kami sentiasa berada di sisi mereka untuk memaklumkan akan dasar-dasar serta rancangan kerajaan, dan yang lebih penting membantu memohon sijil kelahiran serta Mykad," kata beliau.
Beliau memberi contoh yang kerajaan sedang membina 10 buah rumah panjang yang mempunyai 200 unit keluarga di Long Urun bernilai RM8.6 juta di bawah skim Projek Bantuan Rumah.
Dalam politik, masyarakat ini dianggap sebagai "penyelamat" bagi BN kerana mereka menghulurkan sokongan kepada BN semasa pilihan raya.
"Tetapi malang sekali hanya lebih kurang 500 orang daripada mereka yang berdaftar sebagai pemilih. Kami berharap dengan lebih ramai lagi mendapat Mykad, mereka boleh mendaftar sebagai pengundi. Kami akan menjalankan kempen mendaftar pengundi dengan lebih agresif lagi di masa depan," katanya.
Mengenai rancangan masa depannya, beliau mahu memastikan masyarakat Penan mendapat pendidikan lebih baik.
"Mereka yang berpendidikan boleh menjadi pemangkin serta pemimpin bersama idea-idea kontemporari dan wawasan baru bagi masyarakat itu," katanya.
- Bernama

