Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puteri reformasi umum tanding naib presiden PKR
Diterbitkan:  Sep 23, 2010 10:51 AM
Dikemaskini: 10:55 AM

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden PKR pada pemilihan November ini.

Nurul Izzah berkata, beliau membuat keputusan itu selepas melihat pencalonan yang  menggalakkan yang diterimanya minggu lalu walaupun tidak aktif  berkempen. Setakat ini beliau telah menerima lapan pencalonan.

nurul izzah going for veep 230910 01 Beliau bagaimanapun tidak akan mengisytiharkan sokongan kepada mana-mana calon kerana semua cabang PKR bebas membuat pencalonan dan bagi menghormati pilihan ahli.

"Saya juga ingin menjelaskan yang saya tidak akan mengisytiharkan sokongan kepada mana-mana calon kerana mereka  bebas untuk membuat pencalonan dan saya juga bertanggungjawab untuk menghormati pilihan mereka.

"Saya berterima kasih atas pencalonan dan suara akar umbi akan menjadi suara saya sendiri dan saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk berkhidmat.

"Saya tidak anggap ia perubahaan pendirian. Saya ada berkata saya akan fokus kepada pemilihan peringkat cabang di Lembah Pantai.

"Namun, saya dengan serius menawarkan diri dan berpendapat pencalonan dari ahli tidak boleh diambil ringan walaupun saya belum aktif berkempen,” katanya di pusat khidmatnya di  Lembah Pantai.

Dinasti keluarga

Katanya, keputusan itu tidak akan memperkuatkan dinasti keluarganya dalam parti.

"Saya adalah puteri kepada (ketua umum PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim, tetapi saya tidak boleh memadamkan kenyataan bahawa saya adalah juga puteri reformasi

"Saya adalah antara mereka yang bertuah kerana dapat menjadi saksi dan terlibat dalam gerakan reformasi 12 tahun lalu dan kini menyaksikan pencapaian PKR ini," katanya lagi.

nurul izzah going for veep 230910 02 Beliau percaya pemilihan parti tahun ini akan menjadi titik perubahan bagi memperkasakan parti.

Nurul Izzah berkata beliau berharap pemilihan kali ini akan menjadi pertandingan adik-beradik dalam semangat kekeluargaan PKR.

"Percayalah, ahli-ahli parti akan memilih pimpinan berdasarkan kepada wawasan calon, idea dan komitmen kepada nilai-nilai parti dan matlamat perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik dan bukannya setakat pertandingan personaliti.

"Hargailah sumbangan pimpinan daripada pelbagai peringkat, pengorbanan mereka dalam membentuk gerakan Reformasi kepada sebuah parti politik yang mentadbir negara ini bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"Yakinilah bahawa setiap pimpinan dipandu oleh kiblat akhlak mereka untuk melakukan yang terbaik walaupun dalam keadaan sukar demi kebaikan bersama,” katanya lagi.

ADS