Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis perjelas kes 'kehilangan' usahawan India
Diterbitkan:  Sep 29, 2010 8:59 AM
Dikemaskini: 10:24 AM

Polis tidak menerima laporan berhubung kehilangan usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja sebaliknya hanya menerima laporan berkaitan penipuan yang kononnya dilakukan oleh anggota polis dari Bukit Aman bagi "membebaskan" usahawan dari Chennai itu 29 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail menolak dakwaan keluarga mangsa kononnya polis tidak bertindak sewajarnya untuk menyiasat kehilangan usahawan berusia 34 tahun itu sejak awal tahun ini.

    

NONE "Kita sahkan ada terima laporan pada 29 Mac lepas di Balai Polis Klang oleh abang mangsa, Dr Kasi Viswanathan, berhubung penipuan yang didakwa dilakukan oleh "Polis Bukit Aman" yang meminta sejumlah bayaran bagi membebaskan usahawan India itu. Jadi pada masa itu kita siasat kes tersebut di bawah penipuan.

"Polis kemudian bertindak dan menyiasat kes tersebut sebagai orang hilang apabila satu laporan dibuat oleh isterinya, Usharani pada 8 Sept lepas," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

    

Beliau berkata walaupun pada awalnya kes itu disiasat bagi kes penipuan, namun pada masa yang sama polis telah berusaha untuk menjejaki usahawan itu.

NONE "Pegawai penyiasat telahpun cuba mengesan Muthuraja, namun tidak berhasil, sehinggalah pada 8 September lepas, apabila satu laporan dibuat tentang kehilangan Muthuraja, barulah kita siasat lebih mendalam lagi dengan kaitannya dengan siasatan kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain," katanya.

    

Beliau meminta ahli keluarga Muthuraja agar memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan kes itu secara terperinci dan meminta mereka mendapatkan sumber yang sahih untuk mengetahui sebarang perkembangan terkini terhadap siasatan itu.

    

"Untuk mengelakkan daripada mendapat maklumat daripada individu-individu atau mana-mana pihak yang tiada kaitan dengan kes ini, kita telah melantik pegawai penghubung untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada keluarga mangsa," katanya.

    

Sosilawati Lawiya police search afp 3 Hussin berkata ekoran laporan kehilangan usahawan itu, polis telah menahan dua lelaki tempatan secara berasingan iaitu di Taman Wilayah, Selayang dan Kampung Laksamana, Batu Caves sejak 10 hari lepas.

    

Ketika diminta mengulas tempoh tahanan reman lima suspek kes pembunuhan Sosilawati yang tamat Jumaat ini, Hussin berkata polis belum membuat sebarang keputusan sama ada menyambung reman atau tidak kelima-lima suspek terbabit.

- Bernama

ADS