Najib gesa MCA aktifkan jentera di akar umbi
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pemimpin MCA, terutama di peringkat akar umbi supaya melipatgandakan kerja dan khidmat mereka bagi menarik semula sokongan rakyat.
Pengerusi BN itu berkata selain menjadi suara masyarakat Cina, para pemimpin itu perlu berusaha mendekati rakyat dan berkhidmat dengan jujur daripada menggunakan jalan mudah dengan meminta dana daripada kerajaan pusat dengan menganggap wang dan projek dapat menarik sokongan dan menyelesaikan semua masalah.
"(Dengan memberikan dana) ia terbukti tidak akan berjaya. Rakyat tidak menyokong anda bukan kerana anda memberikan mereka wang tetapi kerana mereka suka atau membenci anda. Semuanya dari dalam hati.
"Berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum. Jangan hanya meminta wang untuk projek tapi sebagai pemimpin kita mesti dekat dengan rakyat, Jangan memencilkan diri atau sombong. Sentiasa bersedia dan mudah didekati rakyat," katanya semasa berucap pada perhimpunan agung tahunan MCA ke-57 di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kepimpinan MCA perlu berusaha mengaktifkan semula jenteranya di peringkat akar umbi yang disifatkannya sebagai lesu dan hilang motivasi.
"Saya nak sekarang ini, selain menjadi suara masyarakat Cina, MCA, juga perlu mengurus masalah struktur anda.
"Saya mahu pemimpin di peringkat bahagian dan negeri supaya komited dan bermotivasi untuk bergerak. Paling penting supaya lebih bermotivasi dan setia. Jika tidak tinggalkan parti," katanya.
Najib berkata kerajaan BN memberi peluang kepada MCA, yang telah mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 2008, ruang bagi menyuarakan masalah pengundi.
Katanya beliau juga melihat sendiri MCA melakukan pelbagai gerak tindakan bagi menaikkan kedudukan parti itu di kalangan masyarakat Malaysia, khasnya kaum Cina.
"Oleh itu, kita dalam BN, termasuk Umno mesti bagi ruang kepada MCA. Kita perlu bagi sedikit ruang dan kebebasan kepada MCA. Kalau tak bagi ruang, macam mana kita nak harap MCA boleh menang dalam pilihan raya umum yang akan datang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib juga memuji kepimpinan baru MCA yang dipimpin Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam usaha untuk bergabung dan memulihkan semula parti berikutan krisis dalaman selama setahun setengah.
Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA sejak beliau memegang tampuk kepimpinan negara tahun lepas. Ia ditangguhkan tahun lepas berikutan krisis dalaman parti.
Beliau juga menyifatkan perhimpunan itu sebagai penting dan signifikan kerana ia boleh dianggap sebagai satu persidangan untuk memulakan titik pembaharuan dan pemulihan MCA.
"Tak ada permintaan lain bagi saya selain untuk melihat sebuah MCA yang kukuh dan berkesan. Dan hari ini, saya boleh berkongsi keyakinan dan optimis yang amat tinggi di sini kerana saya melihat bahawa kepimpinan baru telah muncul sebagai sebuah pasukan bagi mengukuhkan parti.
"Tahniah saya ucapkan kepada Chua kerana memulihkan semula MCA, dan saya puji beliau atas kejayaan itu," katanya.
Pada majlis itu, Najib juga melancarkan portal baru MCA di www.mca.org.my .
Sejumlah 1,764 atau 74.5 peratus daripada 2,369 perwakilan pusat menghadiri perhimpunan itu.
Turut hadir Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan para pemimpin parti komponen BN.
--Bernama

