Sebuah syarikat penerbitan di Jerman meminta agar buku mengenai Makyong diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman, kata Pengarah urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) Mohd Khair Ngadiron.

Beliau berkata buku mengenai Makyong iaitu sebuah taridera klasik Kelantan yang telah diisytiharkan oleh Unesco sebagai warisan budaya dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, Jerman.

Katanya buku itu yang dipamerkan di pesta ini selama tiga hari berakhir Sabtu, diadakan untuk membolehkan penerbit buku Malaysia mendapat pendedahan antarabangsa dan berkongsi pengalaman dengan dunia lain.

Bercakap kepada Bernama pada pelancaran buku itu, Mohd Khair berkata buku tersebut yang berharga RM159 senaskah ditulis oleh Rahimidin Zahari, juga berpeluang untuk dijual ke negara-negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

Beliau berkata ITNM telah menterjemahkan beberapa siri buku Malaysia ke bahasa asing seperti Inggeris, Perancis dan Jerman.

Pameran buku antarabangsa itu banyak memberikan pulangan menggalakkan dalam aspek perniagaan kepada beberapa pempamer Malaysia seperti Che Mazlan Saad, pengerusi eksekutif Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd di Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu Bernama bahawa syarikatnya yang menerbitkan buku-buku mengenai pendidikan kanak-kanak merupakan pertama kali menyertai pesta itu, berpuashati dengan pulangan yang diterima.

"Kita mampu memperkenalkan produk ke pasaran bukan berbahasa Inggeris. Kita terima pertanyaan dari Argentina, Brazil, Slovakia, Sepanyol dan lain-lain," kata Che Mazlan.

Linda Tan Lingard berkara syarikat penerbitannya banyak menerima pertanyaan dari Sepanyol, Itali dan Afrika Selatan.

Pelangi Publisihing Group Sdn Bhd yang menyertai pesta antarabangsa ini sejak 1987, mempunyai pejabat di London merancang mengembangkan perniagaannya ke ke negara-negara Eropah, Afrika dan Arab.

Pengarah urusan Saba Islamic Media di Kuala Lumpur yang menerbitkan seperti buku dan majalah yang bertemakan Islam, Sabariah Abdullah berkata pesta itu banyak menghasilkan keuntungan daripada pesta tersebut.

Sementara itu Pesuruhjaya Kanan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Frankfurt, Mohd Sabri Ab Rahman berkata enam syarikat yang menyertai pameran itu memperoleh hasil perniagaan bernilai RM4.118 juta.

--Bernama