Kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya diragui lagi berikutan 10 pengundi tampil melaporkan ketidakselarasan senarai pengundi.

Pengerusi Pemantau Pilihanraya Rakyat Kamar Ainiah Kamaruddin berkata demikian apabila mengusulkan aduan pengundi semalam.

Tuah Muhamad, 50, dari Kuala Lumpur yang pernah mengundi tiga kali, mendapati nama beliau tidak terkandung di dalam senarai pengundi SPR kali ini.

Pengundi dari Setiawangsa, Sulaiman Mahiddin, 24, berkata bapa beliau yang telah meninggal dunia selama 16 tahun masih dalam senarai SPR. Nazaruddin Ibrahim, 29, yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, juga melaporkan kejadian yang sama.

Zaidi Ismail, 30, dari Pandan Jaya juga mengesan nama beliau berganda setelah membuat dua semakan. "Perbezaan dikesan dari segi saluran pendaftaran manakala butir-butir yang lain adalah sama," ujarnya.

Menurut Kamar Ainiah, jurucakap Pemantau, pendaftaran berganda anggota tentera dikesan di sekitar Johor, Selangor dan Sarawak.

Beliau berkata, separuh nama dalam senarai SPR tidak mempunyai rekod tarikh lahir.

Kamar menegaskan bahawa terdapat nombor kad pengenalan yang sama digunakan oleh lebih daripada seorang individu, nama individu yang tidak pernah didaftar serta tidak wujud ditemui.

"Ketidakselarasan semakan pengundi telah diajukan pada pihak SPR. SPR memberi akuan bahawa senarai pendaftaran bagi pengundi yang masih hidup dan meninggal telah diselaraskan tetapi sehingga kini, masih banyak aduan daripada orang ramai," tambah Kamar Ainiah.

Pemantau yang bertujuan memantau pilihanraya kali ini dijalankan secara adil dan bebas diasaskan oleh Pertubuhan Kebajikan Budi Malaysia, International Movement for Just World, Suara Rakyat Malaysia, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Civil Rights Committee, National Human Rights Society of Malaysia dan Aliran Kesedaran Negara.