Enam sahabat maut kereta rempuh pokok
Enam orang termasuk sepasang suami isteri terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh dua batang pokok dan terbakar di tepi jalan di Km 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Kampar awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 2 pagi itu ialah pemandu kereta Lim Kar Wai, 20, Yap Heng Loong, 21, Soo Poi Wan, 18 (wanita) Tang Wai Leong, 18 dan pasangan suami isteri Wong Chee Keong, 23, dan Foo Siew Ling, 23.
Beliau berkata lima mangsa yang cedera parah dan melecur hampir keseluruhan badan mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. Foo pula meninggal dunia di Hospital Kampar pada 4.50 pagi.
Nahas itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Kampar menuju ke Ipoh, kata Abdul Aziz kepada pemberita hari ini.
Abdul Aziz berkata, akibat rempuhan itu, Foo tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Siasatan mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu Lim terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh dua batang pokok di tepi jalan.
Rempuhan berkenaan menyebabkan kereta berkenaan meletup sebelum terbakar, katanya.
Abdul Aziz berkata kereta berkenaan dipercayai telah dipandu laju menyebabkan ia gagal dikawal.
Mayat semua mangsa yang dibedah siasat di Hospital Kampar telah dituntut oleh keluarga masing-masing hari ini.
Sepasukan anggota boma dengan dua buah jentera dari Balai Bomba Gopeng dan Kampar telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan api serta mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap.
Sementara itu, Lim Tsing Poh, 46, bapa kepada pemandu kereta terbabit memberitahu pemberita bahawa anaknya dipercayai dalam perjalanan balik selepas keluar makan malam bersama kawan-kawannya.
Menurut Lim, anaknya pada sebelah petang semalam telah menziarah ibunya yang sedang dirawat di Hospital Fatimah, Ipoh.
"Saya terkejut apabila diberitahu polis anak terlibat dalam kemalangan," katanya.
- Bernama

